Mungkin ramai yang tidak mendengar sebarang khabar berita terbaru mengenai Vince Chong, pemenang pertandingan realiti Akademi Fantasia Musim Pertama.
Kali terakhir Vince muncul di kaca TV ialah sewaktu menyertai The Mask Singers Malaysia yang disiarkan pada penghujung tahun lalu.
Kredit Foto: Tele Vince
Sudah sekian lama Vince tidak mengeluarkan sebarang album atau single terbaru. Mungkin kerana kesibukan bersama keluarga ataupun menguruskan syarikat penerbitannya sendiri InVinceAble Itunes. Vince juga khabarnya banyak menghabiskan masa berehat di kampung isterinya, Fiona Edwards di Keningau, Sabah berikutan masalah sakit belakang yang dihidapinya.
Bagaimanapun, rupa-rupanya dalam diam berehat, Vince kini muncul dengan sebuah lagu baru berentak Sumazau, iaitu muzik traditional Sabah. Terbaru, video untuk lagu baru berjudul 'Situ-Situ Saja Kamu' telah dimuatnaik di Youtube pada minggu lalu.
Kredit: Tele Vince Youtube
Lagu ‘Situ Situ Saja Kamu’ adalah lagu Sabah pertama bagi Vince. Lagu ini diciptakan oleh penulis lagu tempatan, Greg Giting dan kolaborasi Vince dengan Toninipot Band. Uniknya, untuk single ini Vince menukar namanya kepada Vince Keningau, sempena kampung asal isterinya supaya lebih dekat dengan peminat muzik tempatan.
Kredit Foto: Gempak
Dengan tema ‘bersabar dan stay safe’, Vince berharap lagu ini dapat mengubat kerinduan pendengar yang tidak dapat balik ke kampung masing-masing sempena perayaan Tadau Kaamatan pada tahun ini disebabkan pandemic Covid 19.
‘Dalam masa yang amat mencabar ini, kami harap lagu ini dapat mengubat rindu para pendengar yang tak dapat balik kampung. Stay safe Kamurang ! Sabar-sabar dulu Kaamatan tetap ada di hati..Aramaiti !!!’ kata Vince.
Sejauh mana agaknya sambutan peminat tempatan khususnya peminat muzik Sabah menerima Vince Keningau?-CARI
|