CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1033|Reply: 0

Islam penyuluh kejahilan

[Copy link]
Post time 5-7-2021 08:35 PM | Show all posts |Read mode
Islam penyuluh kejahilan


FOTO HIASAN

Setiap manusia yang menghuni alam maya ini mempunyai fitrah beragama, sama ada mereka beragama Kristian, Hindu, Buddha, Islam dan sebagainya. Fitrah beragama ini sebenarnya telah pun wujud semenjak azali lagi. Perlu ditegaskan bahawa manusia selamanya tidak akan mencapai tahap ketamadunan yang tinggi dan kehidupan yang sejahtera jika tidak berpegang kepada agama.

Sejarah sudah membuktikan bahawa manusia semenjak dari dahulu lagi telah mencari sesuatu yang memiliki kuasa tertinggi yang telah mencipta mereka dan kehidupan alam ini. Walaupun manusia pada hakikatnya leka dan asyik dengan kemewahan dan pesona duniawi yang mewarnai kehidupan, namun di dalam kejauhan sudut hatinya masih ada ruang untuk beriman kepada Allah Taala.

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan keadaan apabila manusia itu ditimpa kesusahan dan kesulitan dalam sesuatu masa tertentu, nescaya mereka akan memohon pertolongan daripada Allah Taala.

Sehubungan itu, Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya." (Surah al-Ankabut, ayat 65)

Jelas daripada maksud ayat suci di atas betapa sifat semula jadi beragama di dalam diri manusia ini tidak dapat dipisahkan sama sekali dalam kehidupannya. Walau sedalam manapun manusia terbuai dalan keseronokan duniawi, manusia pasti tetap akan kembali kepada Tuhan mereka. Tegasnya, fitrah beragama ini amat penting dalam setiap detik kehidupan manusia sejagat.

Pendek kata, dengan adanya agama melandasi kehidupan manusia, nescaya manusia dapat menelusuri pentas kehidupan ini dengan sempurna berasaskan kepada peraturan-peraturan dan nilai-nilai hidup yang telah digariskan oleh agama tersebut.

Di dalam Islam, fitrah merupakan satu kejadian yang diciptakan Allah Taala kepada setiap yang dilahirkan sejak dari dalam rahim ibunya lagi. Menurut Kamus Dewan, istilah fitrah ditakrifkan sebagai satu sifat semula jadi atau bakat pembawaan dan juga sebagai perasaan keagamaan. Ringkasnya, fitrah ialah satu sifat semula jadi yang berupa dorongan dan pembawaan yang ada pada setiap manusia sejak dilahirkan ke dunia ini. Sifat ini bagaimanapun boleh berubah dan diubah melalui corak asuhan, tahap pendidikan dan pengalaman hidup.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW  pernah bersabda maksudnya: "Setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka lantaran ibu bapanyalah, anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dengan kata lain, manusia yang difitrahkan perlu dan berhajat kepada agama. Oleh itu, agama dan manusia tidak boleh dipisahkan. Sifat semula jadi manusia kepada agama sememangnya ada pada setiap manusia, bangsa dan umat yang menghuni alam semesta ini.

Umum mengetahui bahawa sifat semula jadi yang wujud bagi seseorang amat banyak seperti makan, minum, tidur, bernafsu dan seumpamanya. Maka, beragama juga dikatakan antara sifat semula jadi bagi seseorang yang hidup di alam ini. Manusia inginkan agama sebagai tempat berlindung dan bergantung harapan serta tempat mencari ketenangan jiwa daripada sebarang masalah dan kemelut yang menghantui kehidupan ini.

Menurut Robert H  Thouless dalam bukunya An Introduction To The Psychology of Religion bahawa terdapat empat faktor mengapa seseorang itu perlu dan berhajatkan kepada agama dalam hidupnya, iaitu:

Pengaruh masyarakat

Pengalaman

Keperluan

Proses pemikiran

Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan pandangan seorang orientalis barat tersohor, Rene Descartes yang menyatakan bahawa dalam mencari Tuhan, beliau mengakui bahawa dirinya lemah dan tidak sempurna. Oleh itu, beliau mengakui bahawa ada yang lebih sempurna yang patut diketahui tetapi beliau hairan dari manakah datangnya tanggapan adanya yang sempurna itu.

Tambah Descartes lagi, dalam dirinya ada sifat semula jadi yang sering membuat tanggapan adanya Tuhan dan sifat semula jadi itu adalah sesuatu yang sempurna. Jelasnya, terdapat banyak benda di luar seperti langit, bumi, matahari dan beribu benda lain yang tidak begitu susah untuk mengetahui dari mana semua itu datang kerana katanya: "Saya percaya ada kuasa yang mengaturnya."

Jadi jelas di sini kelihatan bahawa sifat semula jadi (fitrah) sememangnya wujud dalam diri manusia, lebih-lebih lagi dalam diri manusia itu sendiri terpendam perasaan takut atau bimbang apabila berdepan dengan gejala-gejala alam. Yang paling menarik sekali ialah pandangan Alexis Carell dalam bukunya 'Doa' yang menyatakan bahawa doa merupakan upacara keagamaan yang paling agung bagi manusia kerana dalam keadaan itu, jiwa manusia akan terbang melayang kepada Tuhannya. Beliau berkata lagi: "Adakalanya manusia dalam beberapa keadaan rohaniahnya akan dapat merasakan kebesaran dan betapa agungnya keagungan Tuhan."

Dari satu sudut lain pula, ulama Islam menegaskan bahawa agama adalah satu jalan hidup kerana ia menggambarkan satu konsepsi kepercayaan yang diyakini dan dianuti oleh seseorang di dalam hidupnya. Seterusnya, agama memainkan peranan penting dalam menghubungkan antara manusia dengan Penciptanya, antara sesama manusia dan antara manusia dengan alam semesta.

Ini jelas daripada kata-kata Syed Qutb dalam bukunya Islam dan Masa Depan yang menyatakan: Pada asasnya agama akan hilang seri dan ertinya kalau ia tidak mengatur kehidupan ini dengan konsepsi, penyerahan, pengertian dan perundangannya yang khusus. Teras kehidupan manusia ini sewajarnya berdiri di atas dasar konsepsi kepercayaan yang akan memberikan pentafsiran mengenai hakikat hidup ini, hubungannya dengan Penciptanya, kedudukan manusia di dalam pentas hidup ini, matlamat kewujudan manusia dan bentuk-bentuk hubungan yang akan merealisasikan matlamat kewujudannya.

Hubungan itu berupa dalam bentuk hubungan manusia dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan alam sekelilingnya, hubungan manusia dengan seluruh kehidupan makhluk dan juga hubungan manusia dengan sesama manusia.

Berdasarkan fakta di atas, jelas bahawa setiap insan ada sifat semula jadi beragama, mencari satu kuasa tertinggi untuk disembah. Namun, Islam adalah satu-satunya al-Din yang selari dengan fitrah kemanusiaan sejagat selaras dengan firman Allah Taala maksudnya: "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat keturunan anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya: Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar! (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." (Surah al-A'raf, ayat 172)

Kesimpulannya, agama sebenarnya bersifat spiritual yang perasaan semula jadi (fitrah) itu sememangnya benar selaras dengan kejadian asal manusia yang diciptakan Allah Taala. Daripada perasaan semula jadi inilah, manusia akan dapat merasakan kewujudan Pencipta alam ini dan seterusnya beriman kepada-Nya. Cuma manusia secara umumnya tidak menyedari akan keperluan kepada agama tersebut di dalam hidup ini. Hanya dalam jangka masa yang panjang, keperluan kepada agama akan dirasai secara langsung apabila manusia ditimpa musibah atau menyedari tempoh hidupnya semakin singkat meninggalkan dunia yang fana ini.

Menerusi ajaran Islam yang lengkap ini, manusia akan menginsafi hakikat dirinya yang sebenar, hakikat Penciptanya Yang Maha Agung dan hakikat-hakikat lain yang menghiasi pentas hidup ini. Menerusi Islam juga, manusia terselamat daripada terjerumus ke kancah kesesatan dan kejahilan dan seterusnya meniti landasan hidup yang disuluhi sinaran iman dan hidayah Ilahi.

Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 07:05 PM GMT+8 , Processed in 0.494395 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list