View: 1304|Reply: 0
|
Menghadapi virus tafrit, tajsim
[Copy link]
|
|
Menghadapi virus tafrit, tajsim
MEMAHAMI ajaran yang benar akan menyelamatkan akidah setiap Muslim. FOTO Arkib NSTP
Terdapat buku ilmiah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka berjudul 'Ahl Al-Sunnah wa al-Jama'ah Menghadapi Cabaran Semasa' yang menghimpunkan beberapa makalah untuk menjelaskan akidah Islam yang berhadapan syubhat kontemporari. Ia berdasarkan panduan dan ulasan yang disusun oleh Ahli Sunah Waljamaah. Buku ini penting untuk menjadi tatapan masyarakat seperti pemimpin, ahli akademik, pengkaji, pelajar dan terutama mereka yang terlibat dengan pembikinan dasar negara.
Ahli Sunah Waljamaah adalah aliran yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia. Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia bermula 2005 hingga 2017 pernah menyatakan mengenai pegangan majoriti umat Islam ini.
Menurutnya, secara hakikatnya Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi pegangan masyarakat Islam dalam akidah adalah berasaskan mazhab akidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah. Ini selari dengan kajian The Royal Islamic Strategic Studies Centre bahawa 90 peratus umat Islam seluruh dunia mengikuti aliran al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah.
Di Malaysia juga sedemikian, sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Panel Pakar Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertarikh 28 Disember 2010, bahawa definisi Ahli Sunah Waljamaah ialah mereka yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi SAW mengikut manhaj serta kaedah salaf serta khalaf (Asha'irah dan Maturidiyyah). Bekas Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu menjelaskan beberapa perkara yang menjadi cabaran bagi Ahli Sunah Waljamaah. Antara cabaran yang dihadapi adalah meskipun di Malaysia majoritinya berpegang dengan aliran muktabar akidah berkenaan, tidak dinafikan masih ramai yang kurang mengenali mazhab al-Asha'irah terutama daripada aspek metodologi dan kerangka asas pemikiran yang menjadi dasar utamanya.
Jika tidak ditangani dengan baik, syubhat semasa akan menyerang umat Islam secara berleluasa. Antara aspek yang menimbulkan kegusaran ialah umat Islam boleh terpengaruh dengan aliran yang cuba kembali kepada al-Quran dan hadis atau kepada aliran salaf soleh terdahulu, namun rupanya bukanlah itu yang menjadi hakikatnya. Ini kerana slogan 'al-Quran dan hadis' atau 'salaf soleh' hanya menjadi slogan indah di bibir sahaja, tetapi hakikatnya mereka kembali kepada al-Quran dan hadis yang difahami secara 'tafrit' (jumud/literal) seperti yang pernah dibawa oleh golongan Hashawiyyah, Mushabbihah, Mujassimah dan seumpamanya. Mereka golongan yang kurang menggunakan akal yang 'salim' (sejahtera) sehingga berfikir secara jumud.
Mereka menyangka bahawa mereka mewakili salaf soleh generasi terdahulu untuk zaman moden ini, tetapi sebenarnya lebih tepat mewakili pemikiran literal ekstrem yang pantas mengkafirkan umat Islam seperti aliran Khawarij. Aliran ini juga pernah berada pada zaman generasi salaf soleh di samping Hashawiyyah, Mushabbihah dan Mujassimah namun mereka tidak layak diberi gelaran 'soleh'.
Terdapat juga golongan bidaah yang memahami al-Quran dan hadis secara 'ifrat' (melampau/liberal) yang terlampau menggunakan akal sebagaimana dilakukan oleh golongan Muktazilah, umat Islam yang terpengaruh dengan ilmu falsafah (sebelum disaring menjadi falsafah Islam) dan Islam Liberal. Namun, artikel ini lebih memfokuskan kepada aliran berunsur tafrit (jumud/literal).
Antara ciri Ahli Sunah Waljamaah adalah 'wasatiyyah' yakni sederhana atau pertengahan contohnya dalam penggunaan dalil nas dan dalil akal yang salim ketika memahami akidah Islam. Penggunaan akal yang salim terdapat dalam silibus mantik Islam secara sistematik yang asalnya didominasi oleh golongan bidaah Muktazilah. Ia kemudian berjaya disaring dan ditambah baik berdasarkan pandangan Ahli Sunah Waljamaah. Namun, silibus ini ditolak dan diharamkan dengan naratif 'bidaah' oleh golongan berunsur 'tafrit' (jumud/literal). Sedangkan ilmu penggunaan akal yang salim yang digelar 'ilmu mantik' ini banyak memberi manfaat kepada ilmu kalam dan ilmu usul fiqh sebagaimana dihuraikan oleh Mujaddid Abad Kelima, Imam al-Ghazali dalam kitab al-Mustasfa min 'Ilm al-Usul.
Meskipun ilmu akal ini dipelajari menerusi silibus institusi pengajian tinggi, mereka tetap tidak berminat untuk mengiktiraf keabsahannya dan tetap bersikap literal dalam memahami akidah serta syariat. Kesannya dalam perkara akidah, mereka terdedah kepada virus 'tajsim' (mendakwa Allah SWT berjisim) dan 'takfir' (mudah menuduh kafir dalam perkara khilafiah). Dalam perkara ibadah dan syariat pula mereka terdedah kepada virus tabdi' (mudah menuduh bidaah kepada perkara khilafiah) sehingga ke tahap syirik dan kafir. Maka, berlakulah sehingga kini tuduhan bidaah dan syirik terhadap perkara khilafiah seperti isu lakaran capal Nabi SAW, tabarruk, tawassul, istighasah, selawat syifa, selawat tafrijiyyah, sistem demokrasi, sistem raja berperlembagaan dan seumpamanya.
Apabila mereka tidak berminat untuk menggunakan ilmu akal yang disaring oleh ulama muktabar itu, maka mereka mudah terdedah kepada penggunaan akal secara salah dalam memahami akidah. Contoh yang dapat dilihat, mereka terlalu memberi fokus kepada ayat 'mutashabihat' (maksud yang samar) berbanding 'muhkamat' (maksud yang jelas) sehingga mereka mendakwa bahawa secara logiknya setiap perkara yang wujud, mestilah berjisim maka Allah SWT mestilah juga berjisim. Inilah logik yang bercanggah dengan mantik Islam dalam akidah yang disaring oleh ulama Ahli Sunah Waljamaah.
Sebaliknya mantik Islam apabila diaplikasikannya dalam akidah Islam, ulama Ahli Sunah Waljamaah memahaminya bahawa setiap yang wujud tidak semestinya berjisim dan zat Allah SWT bukan daripada jenis berjisim. Dalam silibus akidah Islam yang menggabungkan dalil nas (muhkamat bukan mutashabihat) dan dalil akal susunan Ahli Sunah Waljamaah, terdapat pembelajaran istilah jirim atau jauhar dan 'arad sebagai ciri-ciri makhluk. Jika umat Islam memahaminya maka mereka dapat faham Allah SWT bukanlah daripada jenis jauhar dan 'arad contohnya berjisim, berbentuk, mengambil ruang dan tempat.
Almarhum Prof Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti dalam kitab akidahnya berjudul Kubra al-Yaqiniyyat mempopularkan istilah al-istiqra' al-tam, dilalah al-iltizam dan al-qiyas sebagai mewakili dalil akal yang 'salim' dalam memahami sifat Allah SWT. Di samping itu, digunakan juga dalil nas al-Quran dan hadis yang muhkamat lagi qat'iyyah (pasti) bukan mutashabihat yang menjadi dasar utama akidah Islam. Beliau menafikan kejisiman bagi Allah SWT ketika membahaskan sifat keesaan Allah SWT dengan menyatakan bahawa Allah SWT bukanlah Tuhan yang tersusun zatnya (murakkab) dan juga Dia bukanlah jirim dan 'arad ketika membahaskan sifat Allah SWT yang tidak sama dengan makhluk. Ini adalah kaedah akal yang salim di samping surah al-Ikhlas yang menjadi dalil nas yang muhkamat menafikan kejisiman zat Allah SWT.
Oleh itu, kefahaman terhadap pegangan majoriti umat Islam ini perlu diperkasakan menerusi pengaktifan pembelajaran kendiri oleh umat Islam dengan bijak mencari dan menyertai kelas akidah Ahli Sunah Waljamaah. Di samping itu, perlu dizahirkan lagi oleh golongan agamawan dengan meyakinkan pemimpin agar menguatkuasakan pembelajaran dan kawalan terhadap silibus akidah agar tidak bercanggah dengan Ahli Sunah Waljamaah. Pemimpin dan agamawan juga digesa agar tidak beranggapan bahawa tajsim dan takfir ini hanya 'khilaf muktabar'(khilaf yang dibenarkan). Sedangkan ia perkara bidaah 'dolalah' dalam akidah yang bercanggah dengan usul akidah Ahli Sunah Waljamaah menyebabkan berdosa besar bahkan boleh merosakkan akidah, contohnya penjisiman Allah SWT secara jelas bercanggah dengan usul akidah Islam.
Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|