CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1763|Reply: 1

Pelihara kesucian Islam

[Copy link]
Post time 16-7-2021 12:25 AM | Show all posts |Read mode
Pelihara kesucian Islam


SETIAP Muslim wajib menjauhkan diri daripada terlibat dan terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng setelah rasul berjuang menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan. FOTO Arkib NSTP

Pengutusan  rasul adalah bertujuan untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan kepada kepercayaan tauhid. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Saffat ayat 123 hingga 126 yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah daripada Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta? Iaitu Allah Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!"

Kepercayaan dan keyakinan terhadap kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan yang esa menjadi teras akidah bagi setiap Muslim. Perkara ini ditegaskan Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Ikhlas ayat 1 hingga 4 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya."

Kedatangan Islam menghapuskan kepercayaan kepada tuhan yang berbilang-bilang dalam kalangan masyarakat Arab jahiliah yang menyembah berhala. Ketika pembukaan Kota Makkah, Nabi Muhammad SAW menghancurkan semua 360 berhala di Kaabah. Perkara tersebut dijelaskan di dalam sebuah hadis daripada Ibn Mas'ud RA yang bermaksud: "Nabi SAW memasuki Makkah dan di sekeliling Kaabah terdapat 360 berhala. Baginda kemudian menghancurkannya dengan tongkat di tangannya seraya mengucapkan firman Allah: 'Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); Telah datang kebenaran (al-Quran yang memberi segala kebaikan) dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.'" (Riwayat al-Bukhari)

Penegasan terhadap keyakinan kepada keesaan Allah SWT dirakamkan di dalam beberapa ayat di dalam al-Quran seperti surah al-Anbiya' ayat 21 dan 22 yang bermaksud: "Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, daripada apa yang mereka sifatkan."

Walaupun manusia secara fitrahnya mempercayai kewujudan kuasa luar biasa yang menguasai alam semesta, namun Tuhan yang dipercayai dan diimani oleh orang Muslim tentulah tidak sama dengan tuhan yang dipercayai oleh orang kafir. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 25 yang bermaksud: "Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?' Sudah tentu mereka akan menjawab: 'Allah'. Ucapkanlah (wahai Muhammad): 'Alhamdulillah' (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)." Di dalam ayat yang lain surah al-Maidah ayat 73 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: 'Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir daripada antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.'"

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hinga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa lafaz kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain. Oleh itu  wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Allah SWT memberikan ancaman terhadap perbuatan yang mempersekutukan-Nya melalui firman-Nya di dalam al-Quran surah al-A'raf ayat 191 dan 192 yang bermaksud: "Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan? Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri." Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa' ayat 48 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."

Setiap Muslim wajib menjauhkan diri daripada terlibat dan terpengaruh dengan sebarang bentuk ajaran yang menyeleweng setelah rasul berjuang menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Jumu'ah ayat 2 yang bermaksud: "Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."

Ajaran sesat dan menyeleweng adalah sebarang ajaran dan amalan yang diasaskan dan didukung oleh orang Islam dan juga orang bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran dan al-sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah wal Jama'ah.

Di dalam konteks Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa seksyen berkaitan kesalahan berhubung dengan akidah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seperti pemujaan salah, doktrin palsu, mengembangkan doktrin agama, dan dakwaan palsu. Begitu juga seksyen berkaitan kesalahan yang berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina dan menyebabkan agama Islam dipandang hina, mengajar agama tanpa tauliah, pendapat yang bertentangan dengan fatwa dan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak. Semua peruntukan tersebut bertujuan memelihara kesucian dan kemuliaan agama Islam.

Bagi mengekang penyebaran ajaran yang menyeleweng, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini juga kembali mengaktifkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) bagi memastikan segala tindakan dan gerak kerja menangani isu akidah dan ajaran sesat berjalan secara teratur.

Kebenaran akidah Islam telah dibuktikan melalui pelbagai dalil dan hujah yang kukuh semenjak berabad-abad lamanya. Justeru marilah kita semua kembali berusaha memperkukuhkan akidah dalam diri dan menjauhi segala amalan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Jauhilah sebarang kepercayaan yang hanya bersifat sangkaan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36 yang bermaksud: "Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-7-2021 07:22 AM From the mobile phone | Show all posts
Ni sure lom masyuk jawi
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 07:00 PM GMT+8 , Processed in 0.594838 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list