Rio de Janeiro: Catatan diari memilukan yang menceritakan kisah penderaan dilalui seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai dibunuh ibunya ditemukan.
Dailystar melaporkan diari itu menceritakan penderitaan, Miguel dos Santos Rodrigues dengan menganggap dirinya sebagai seorang anak yang teruk.
"Saya buruk. Saya kejam. Saya jahat. Saya tidak tahu menghargai sesiapa. Saya anak yang mengerikan," tulisnya.
Yasmin dan Miguel, Foto: Agensi
Polis Brazil percaya ibu Miguel, Yasmin Vaz dos Santos Rodrigues, 26, memaksanya menulis ayat itu bersama frasa lain yang meruntun jiwa seperti 'saya bodoh' dan 'saya tidak layak menjadi anak kepada ibu ini' sebelum dibunuh.
Ibu Miguel akhirnya mengaku memaksa anaknya makan ubat anti kemurungan dengan dos tinggi sebelum melemaskan anaknya ke dalam beg dan membuangnya ke sungai.
Tetapi dia menunggu dua hari selepas kejadian itu sebelum melaporkan kehilangan Miguel.
Polis memperoleh video di mana Yasmin kelihatan mengejek budak lelaki itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Antonio Carlos Ractz berkata, siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan.
"Apa yang jelas dan kami mengesahkan ketika kanak-kanak itu hidup, dia diseksa secara fizikal serta psikologi. Dia kekurangan zat makanan. Walaupun dia ke sekolah, dia tidak punya kawan dan tidak pergi ke mana-mana.
"Dia dikunci di sebuah bilik di rumah, dihukum, dikunci dan diikat dalam almari," katanya.
Selepas Yasmin mengaku melakukan pembunuhan, polis menggeledah rumah keluarga itu dan menjumpai rantai yang digunakan untuk mengikat Miguel dalam almari pakaian.
Sehingga kini mayat kanak-kanak malang itu belum ditemui. -CARI
Sumber: Harian Metro |