ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah memohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi pesawah di Yan, yang terjejas akibat banjir lumpur pada 18 Ogos lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan itu amat penting memandangkan daerah Yan adalah antara pengeluar padi utama dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Dalam kenyataannya, beliau turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang meluluskan peruntukan segera berjumlah RM75 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur di Yan dan Merbok akibat bencana itu.
"Kesudian Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi yang pertama ke negeri ini, untuk melihat sendiri kesan tragedi serta memberi nasihat kepada mangsa yang terjejas, khususnya keluarga yang kehilangan insan tersayang, juga meredakan sedikit kesedihan yang ditanggung.
"Ini membuktikan sikap prihatin dan ambil berat beliau selaku pemimpin tertinggi kerajaan terhadap nasib rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam situasi yang mencabar sekarang," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, yang akan menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih rumah penduduk terjejas berjumlah RM3 juta.
Semalam, Perdana Menteri ketika lawatan rasminya ke daerah Yan dan Kuala Muda mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta, bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok, yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai, Rabu lalu.
Dalam lawatannya itu, Ismail Sabri turut meluangkan masa meninjau kawasan yang terjejas teruk di sekitar Titi Hayun di Yan.
Tragedi berkenaan meragut enam nyawa serta menjejaskan lebih 1,000 rumah penduduk di dua daerah terbabit. – BERNAMA