Seorang remaja di Argentina dibunuh teman lelakinya selepas memaklumkan kehamilan anak mereka.
Kematian pelajar, Lucia Fernandez, 15, dipercayai mati akibat kepalanya dihentam beberapa kali dengan batu selain lebih 12 tikaman pada leher dan perut.
Media tempatan, TN melaporkan rakan sekelasnya berusia 14 tahun dipercayai membunuh Lucia pada Selasa di Mendoza selepas dia memberitahu hamil anak remaja lelaki itu.
'Tikam Banyak Kali, Dia Bunuh Anak Saya Macam Anjing Sampai Hancur Muka'
Bapa Lucia, Fabian Fernandez kesal dengan insiden berdarah itu yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.
"Dia bunuh anak saya macam anjing, tikam dia banyak kali dan pukul muka sampai hancur," katanya dalam portal Daily Star.
Sebelum kejadian, suspek didakwa mengajak mangsa bertemu di sebuah rumah terbiar sebelum dia dibunuh kejam dengan tikaman antara 10 dan 15 kali.
Remaja itu dilaporkan meninggalkan mayat Lucia di rumah berkenaan dan melarikan diri.
Lucia ditemui jirannya 20 minit selepas insiden itu namun remaja itu sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Bedah siasat mendapati Lucia mengalami pelbagai kecederaan akibat dipukul dan ditikam di seluruh badan namun kematiannya berpunca daripada luka akibat tikaman yang dalam pada perut.
Pembunuh Lucia ditemui selepas saksi memaklumkan polis melihat rakan sekelas remaja itu berhampiran rumah terbiar berkenaan pada waktu insiden berlaku.
Polis menahan remaja itu yang mengaku melakukan pembunuhan itu selepas Lucia memberitahu dia hamil anaknya.
Sumber: Harian Metro |