|
Tiga penggali kubur yang melakukan kerja di Kota Bima dekat Nusa Tenggara Barat menemukan harta karun yang dikatakan peninggalan kerajaan kuno, kelmarin.
OkeNews melaporkan, Ibrahim, Ramli dan Robi Mas’ud menemukan harta karun berupa cincin emas, cincin perak, gelang dan anting-anting emas pada kedalaman dua meter.
Semua harta karun itu ditemukan secara tidak sengaja di kawasan tanah perkuburan Cuhi Pangga Pupa.
Selain harta karun tersebut, mereka turut menemukan tengkorak di samping barang kemas itu.
Ketua Kebudayaan, Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Kota Bima, Munawar berkata, penemuan itu cukup mengagumkan dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya.
Menurut beliau, penemuan itu bukan yang pertama kali berlaku dan sebelumnya ada beberapa penduduk yang menjumpai mata tombak dan barang-barang lain.
“Malangnya, semua penemuan itu ada yang disimpan sendiri, malah dijual kepada pihak lain,” katanya.
Dalam penemuan baharu itu, Ibrahim menyimpan dua cincin manakala Ramli pula memperoleh cincin dan an-ting-anting dan selebihnya diberikan kepada Robi.
Munawar berkata, pihaknya mahu ketiga-tiga mereka menjual penemuan harta karun itu kepada kerajaan.
Kawasan tanah perkuburan itu disebut sebagai Cuhi Pangga Pupa.
Menurut masyarakat, Cuhi adalah penguasa kawasan utara, maksudnya sebagai kawasan kerajaan lama.
Sumber: Utusan |
|