Kepala Batas: Seorang penganggur tidak sempat menikmati hasil jualan dadah bernilai lebih RM60,000 apabila ditahan dalam Proton Wira berhampiran sebuah hotel di sini, jam 12 tengah hari Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan terhadap kereta itu menemui heroin seberat 4.5 kilogram.
"Siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 30 tahun dalam proses hendak mengedar dadah sebelum ditahan.
"Suspek mengedar dadah sejak dua bulan lalu di sekitar Seberang Perai Utara serta daerah lain sekitar Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya masih mengesan rakan jenayah suspek.
Semakan turut mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
"Dadah ini boleh digunakan oleh 22,500 penagih. Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.