|
tho dah ada berita ni.... sisipan kecil masa aznil gi jumpa si aiman ni
tapi kali ni.... kanak2 bertuah ni datang ke konti era
sekali gus... mawi & wife pun ada juga....
let's read!
Aiman tak kisah!
Oleh Rozdan Mazalan
[email protected]
WAJAH riang Aiman apabila bertemu idolanya, Mawi.
Impian untuk bertemu idolanya, Aznil Nawawi dan Mawi termakbul di konti Era
TANPA melihat dan menyentuh wajah idolanya sebelum ini, masakan adik Aiman yang hilang penglihatan sejak berusia lima bulan kerana menghidap kanser mata dapat membayangkan susuk dua tubuh yang berdiri di hadapannya.
Namun dengan masih memiliki empat lagi pancaindera yang lain kurniaan Allah SWT buatnya, Aiman hanya tersenyum riang apabila idolanya yang berdiri di hadapannya, Mawi dan Aznil membuka mulut memulakan bicara.
Impian dan harapan sejak dulu untuk berjumpa dan menyentuh muka idolanya dimakbulkan pagi Khamis lalu apabila Aiman atau nama sebenarnya Mohd Aiman Mohd Nizam, 6 dipertemukan di konti Era menerusi segmen Riuh Pagi Era bersama Aznil dan Din Beramboi.
Soalan pertama yang diajukan Aznil buat Aiman, ketika kunjungannya itu, “Hai Aiman.. kenal tak siapa saya?” disambut Aiman dengan pantas, “Uncle Aznil’. Jawapan spontan itu menyentuh hati mereka yang berada di dalam konti dan kelihatan mata Aznil seperti berkaca-kaca.
Begitu juga dengan sapaan Mawi terhadap Aiman, membuatkan Aiman tercari-cari di manakah datangnya suara itu walaupun berada di dalam bilik konti yang kecil.
MAWI, Aznil dan Din ceria melayan Aiman di konti Era, baru-baru ini.
Memang Aiman kenal suara yang pernah menyanyikan lagu kegemarannya, Kian. Lagu itulah yang selalu dinyanyikan Aiman menurut ibu saudaranya, Norhayati Daud yang sanggup meluangkan masa bagi memenuhi impian anak saudaranya itu.
Bermulalah episod manis buat Aiman selama satu jam bersembang bersama dua idolanya biarpun tidak sekalipun pernah menatap wajah mereka.
Menurut Aznil, pada mulanya dia sudah membayangkan emosi dirinya sebelum menatap wajah Aiman. Dia bimbang air mata yang menitis di pipinya dan suaranya yang sebak akan membuatkan semangat anak kecil itu semakin kecil. Namun sebaik saja bertemu, perasaannya bertukar bangga kerana Aiman memang petah berkata-kata.
“Pada mulanya saya agak berhati-hati untuk memulakan beberapa soalan terhadap Aiman, takut kata-kata saya membuat dia terasa.
“Namun selepas dia menjawab soalan saya dengan ramah dan berkeyakinan saya berasa bangga kerana semangat anak kecil ini tidak seperti yang saya sangkakan. Aiman adalah kanak-kanak yang cukup kuat semangatnya biarpun dia tahu nasib dia tidak sama dengan kanak-kanak lain.
“Saya berbangga dengan didikan ibu bapanya yang mendidik dan melayan Aiman seperti kanak-kanak lain membuatkan dia mampu untuk berdikari sendiri.
“Saya sangat suka kepada kanak-kanak yang sakit seperti ini, tetapi tidak menunjuk yang mereka tidak mempunyai harapan untuk terus hidup seperti kanak-kanak normal yang lain,” katanya yang teringin untuk membawa Aiman menikmati makan malam bersamanya suatu masa nanti yang juga ditemani Mawi.
Mawi yang hadir bersama isteri tercinta, Ekin turut berpandangan sama seperti Aznil. Dengan kata-kata yang agak tersusun ketika memulakan sesi bersembang bersama Aiman, Mawi turut bimbang semangat Aiman jatuh sekiranya kata-katanya mengguris hatinya.
“Sejak dari rumah lagi saya sudah bayangkan pertemuan ini akan menjadi satu pertemuan yang beremosi, namun Aiman yang saya bayangkan bukanlah kanak-kanak biasa walaupun dia baru berusia enam tahun.
“Buat masa ini saya sudah berhadapan dengan lapan kes kanak-kanak dan orang dewasa yang ingin berjumpa dengan saya. Tetapi sedihnya selang beberapa minggu ada antara mereka dijemput Ilahi.
“Tetapi bezanya apabila saya berjumpa Aiman, dia sangat berbeza daripada kanak-kanak lain dan semangatnya sangat kuat. Sempatlah saya merakam Drama Sebabak dengannya sampai tergelak-gelak.
“Dia cukup istimewa, ramah dan tidak menampakkan yang dia mengalami kekurangan dari segi fizikal. Sepanjang satu jam bersembang dengannya, timbul idea untuk saya menerbitkan suatu program khas mengenai kanak-kanak yang kurang bernasib baik sepertinya,” katanya.
Menurut Norhayati, biarpun tidak dilahirkan seperti kanak-kanak lain, Aiman adalah kanak-kanak istimewa yang sering diminta untuk melaungkan azan ketika masuknya waktu solat di kawasan rumahnya di Flat Seri Kelantan, Sentul, Kuala Lumpur.
“Selain dapat melaungkan azan dengan baik, Aiman juga mampu menghafal surah Yasin dengan lancar,” katanya.
<source : berita harian online
http://www.bharian.com.my/Curren ... 91215063435/Article>
|
|