View: 2893|Reply: 3
|
FT@Bengkel HotFM Kita Punya
[Copy link]
|
|
Strategi baru Hot FM
Oleh FAIZAL SAHARUNI
[email protected]
WARGA Hot FM, Fly FM dan One FM berganding bahu dalam memantapkan lagi populariti stesen radio kendalian masing-masing.
BERMATLAMAT lebih memantapkan tiga buah stesen radio yang bernaung di bawahnya, Rangkaian Radio Media Prima telah menyusun beberapa pengisian baru. Bagi Hot FM, Fly FM dan One FM, ia dianggap mampu memacu kejayaan masing-masing dalam lapangan penyiaran radio tanah air selepas ini.
Berterus-terang, matlamat utama rangkaian radio tersebut bukan bertujuan mahu bersaing dengan stesen radio swasta lain. Perubahan yang dilakukan sebaliknya sekadar memperbaiki kekurangan yang ada demi menyalur hiburan dan maklumat kepada pendengar di seluruh negara.
Jatuh di tangga ketiga selepas ditundukkan Sinar FM dan Era FM dalam kajian AC Nielson baru-baru ini, stesen radio popular dengan tagline Lebih Hangat Daripada Biasa itu menampilkan AG sebagai penyeri Hot FM AM Krew bergandingan dengan penyampai sedia ada, Fara Fauzana dan Faizal Ismail pukul 6 hingga 10 pagi.
Selain bergelar penyampai pagi, AG atau nama berdaftar Muhammad Azmir Selamat bertanggungjawab sebagai Man On The Street berperanan merapatkan Hot FM dan pendengar.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul, relevan AG dipilih sebagai penyampai pagi selepas pihaknya menjalankan kajian grup fokus serta pandangan diterima daripada peminat sebelum ini.
"Idea ini saya dapat ketika AG mengacara Malaysia Hari Ini (MHI) kerana dia sering bertindak sebagai pengacara buat lintasan luar. Daripada situ, kami campur konsep ini jadi sebahagian pengisian dalam segmen pagi Hot FM. Dengan pengalaman dimiliki, saya percaya AG mampu melakukan yang terbaik.
"Dalam setiap asas penyiaran radio di seluruh dunia, program pagi sangat penting kepada orang ramai. Oleh itu, kami menonjolkan kelainan agar ia mampu menarik tumpuan pendengar," katanya ketika ditemui pada sidang media Strategi Rangkaian Radio Media Prima di Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.
Sambung Seelan, Hot FM juga sedang mencari pasangan untuk Ikhwan yang kini bersendirian mengendali segmen Hot FM Zon setiap Isnin hingga Jumaat pukul 8 dan berakhir 12 tengah malam.
"Kami mengalu-alukan bakat baru menjadi penyampai malam bersama Ikhwan. Kriteria utama, mereka perlu muda dan memiliki bakat. Sesiapa berminat boleh mengunjungi laman web kami di www.hotfm.com.my serta menghantar demo dan profil. Kalau tersenarai, barulah mereka dipelawa membuat uji bakat tertutup," jelas Seelan.
Dalam waktu sama, Leya dan Tini masih kekal dalam segmen Menu Muzik Hot FM bermula 10 pagi hingga 4 petang. Anne yang sebelum ini menemani Ikhwan diserap ke Hot FM Jam bersama Kieran mulai pukul 4 petang hingga 8 malam.
Bagi membantu industri seni tempatan, Hot FM akan melancarkan bengkel Hot FM Kita Punya berlangsung sekitar Julai nanti. Bengkel itu memperkenalkan ikon muzik tanah air antaranya ialah Ahmad Izham Omar, Audi Mok dan Faizal Tahir berkongsi petua serta pengalaman kepada penggiat seni baru.
Selain Hot FM yang muncul dengan strategi baru, Fly FM juga punya pembaharuan tersendiri dengan memunculkan secara eksklusif pengacara American Idol, Ryan Seacrest bersiaran pukul 1 hingga 4 petang.
FARA, AG dan Faizal bertekad mengembalikan Hot FM kembali ke takhta stesen radio nombor satu negara.
Individu terkenal dalam penyiaran radio itu akan memberi informasi menarik mengenai perkembangan terkini berlaku di industri seni antarabangsa. Ia mencakupi himpunan gosip panas dan wawancara bersama selebriti Hollywood.
Selain acara tahunan Flyniversary diadakan November nanti, Fly FM juga akan memfokuskan demam Piala Dunia 2010 menerusi segmen Fly FM Street Strika dengan merekrut 18 buah pasukan berentap pertandingan bola sepak jalanan bagi merebut hadiah berjumlah RM12,000.
Tidak ketinggalan, Fly FM Soccer For Dummies menemui pendengar apabila peminat dengan mudah membawa pulang wang tunai RM1,000 dengan hanya menjawab soalan mudah berkaitan bola sepak dan Piala Dunia.
Satu lagi pembaharuan yang bakal berlaku adalah kehadiran program carta, Fly FM Top 10 @ 10, diadakan setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Terkini, Fly FM dimantapkan dengan Nadia, Phat Fabes dan Ben untuk segmen The Pagi Show, Hunny Madu (10 pagi hingga 1 petang), Ryan Seacrest (1 hingga 4 petang), Prem dan Jules (Fly FM Rush Hour) dan Hafiz (Fly FM Night Flight).
Enggan ketinggalan, One FM kini dalam perancangan mencari penyampai baru. Misi DJ Search akan bermula secepat mungkin untuk disatukan dengan Nick yang baru sahaja menyertai keluarga stesen radio berbahasa Cina itu. Buat masa ini, Nick bersiaran bersama artis tempatan, Ze Chen sehingga berakhir pencarian bakat baru itu.
Segmen pagi dikendalikan oleh Jane, Jack dan Ryan bakal disertai oleh Shanghai Jane yang merupakan karakter berperanan menghidangkan cerita-cerita panas berkisar selebriti Cina tempatan, Hong Kong, Taiwan dan sebagainya.
Sempena Piala Dunia juga, One FM bakal menghangatkan atmosfera dengan Song Ole-Ole apabila 64 lagu dimuatnaik ke laman web stesen radio dengan tagline You Are My No. 1 itu. Semua lagu akan berentap sesama sendiri menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pendengar.
Sebanyak RM50,000 boleh menjadi milik pemenang jika mereka boleh menyusun 10 lagu mengikut kedudukan tepat dengan hasil undian Song Ole-Ole berserta slogan terbaik. Dalam pada itu, Fresh Release Goes Live akan menemui para pencinta muzik pada Jumaat pertama setiap bulan secara keseluruhan. |
|
|
|
|
|
|
|
Dah ada promo2 tentang workshop ni di hotfm
ramai ikon muzik jadi fasilitator, penyanyi rasanya tak silap dengar FT je
10 Julai di Wisma Bentley, di The Curve, Damansara |
|
|
|
|
|
|
|
Hot FM cari lagu pelapis
Oleh ABD. AZIZ ITAR
[email protected]
Gambar AIZZUL A. MAJID
SEELAN Paul (kanan) bersama para peserta dan artis yang terbabit pada sidang akhbar Woksyop Kita Punya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
STESEN-stesen radio sering dipersalahkan apabila kurang menyiarkan lagu-lagu artis tempatan. Paling parah apabila mereka didakwa lebih mengutamakan lagu-lagu artis luar negara terutama Indonesia hingga menimbulkan rasa tidak puas hati artis-artis tanah air.
Antara alasan yang diberi oleh stesen-stesen radio ialah mereka ketandusan lagu-lagu tempatan yang berkualiti dan mengikut selera para pendengar.
Menyedari senario itu, stesen radio Hot FM mengambil inisiatif menganjurkan sebuah bengkel yang dikenali Woksyop Kita Punya pada 10 Julai ini bagi melahirkan lebih banyak lagu-lagu tempatan.
Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul berkata, bengkel yang akan diadakan di Wisma Bentley, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu dari pukul 12 tengah hari hingga 6 petang akan disertai ramai penggiat muzik tanah air.
“Mereka akan memberikan tip-tip sebagai panduan kepada kalangan pemuzik dan penyanyi baru. Bengkel itu diadakan secara percuma kepada para karyawan muzik amatur dan profesional.
“Daripada situ kita berharap lebih ramai karyawan muzik tampil aktif dan mencipta lagu-lagu baru. Kami harap melalui usaha ini lebih banyak lagu berkualiti dicipta untuk bahan siaran di radio pada masa depan,” katanya kepada Hits baru-baru ini.
Pada pertemuan selepas pelancaran Woksyop Kita Punya itu, jelas Seelan antara penceramah yang dijemput menjayakannya ialah Ahmad Izham Omar, Audi Mok, Edris Adrian, Faizal Tahir, Cikgu Shafi dan Edrie Hashim.
Turut sama mencurahkan idea dan pengalaman mereka dalam bengkel itu ialah Taja (Meet Uncle Hussain), Arthur Kam, Sandy Monteiro, Mokhtaza Ahmad dan Norman (KRU).
“Mereka semua terdiri daripada individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing. Melalui bengkel itu para pengunjung boleh bertanyakan soalan berkaitan mengikut bidang setiap ahli panel,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar, Promosi & Rangkaian Jenama stesen itu, Zurina Othman berkata, bengkel itu adalah ekoran kejayaan rancangan Kita Punya yang disiarkan melalui Hot FM setiap Sabtu pukul 9 hingga 11 malam.
Segmen yang ke udara sejak Januari lalu dan dikendalikan oleh penyampai Ikhwan itu menyiarkan 100 peratus lagu-lagu ciptaan karyawan muzik baru tempatan.
“Sejak segmen itu diperkenalkan kami telah menerima hampir 600 buah lagu baru ciptaan pemuzik baru. 85 peratus daripadanya sudahpun disiarkan melalui Hot FM.
“Terdapat banyak lagu berkualiti yang kami terima dan berjaya menembusi carta Hot FM 30 seperti kumpulan Tilu, Projek Pistol, API, Azlan & The Typewritter, Joanna & Co., Projekt Nadia dan Grey Sky Morning,” jelasnya.
Edrie Hashim yang bakal mengemudi bengkel gitar pada Woksyop Kita Punya menyifatkan ia suatu aktiviti yang berfaedah demi kesinambungan industri muzik tanah air pada masa depan.
Jelasnya, biarpun masa yang diperuntukkan agak terhadap tetapi beliau yakin para peminat akan mendapat faedah tentang selok-belok dalam seni penghasilan lagu dan muzik daripada ahli-ahli panel terbabit.
“Saya akan mencurahkan pengalaman saya tentang selok-belok dalam teknik bermain gitar. Saya akan tunjukkan teknik bermain gitar dengan betul. Dalam Facebook ramai yang bertanya kepada saya tentang perkara itu.
“Tetapi dengan adanya bengkel itu ia suatu medium yang sesuai untuk saya jelaskan secara lebih meluas kepada para pengunjung di bengkel tersebut. Sesi saya lebih kepada soalan dan jawapan,” katanya.
Mokhtaza yang bertugas di syarikat rakaman Warner Music (M) Sdn. Bhd. pula berkata, ramai penggiat muzik terutamanya pemuzik indie yang bersikap prejudis apabila berbicara tentang kerjasama dengan syarikat-syarikat rakaman berstatus arus perdana seperti Warner Music.
“Bengkel seperti ini akan mendedahkan kepada para penggiat muzik akan peranan atau bagaimana operasi dalam sesebuah syarikat rakaman dijalankan.
“Saya ingin mengambil kesempatan pada bengkel itu bagi ‘membasuh dosa-dosa’ yang telah dilemparkan kepada syarikat rakaman arus perdana yang dikatakan menipu dan sebagainya.
“Saya akan terangkan sebarang persoalan yang timbul berkaitan bidang saya. Contohnya dalam soal kontrak dalam syarikat rakaman,” jelasnya. |
|
|
|
|
|
|
| |
|