[size=0.8]Zuliaty Zulkiffli - November 3, 2021 @ 9:23am[email protected]
Keadaan banjir di Kampung Sungai Petani dekat Kubang Pasu. FOTO NSTP/DANIAL SAAD
ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah semakin buruk apabila bilangan mangsa banjir meningkat kepada 754 orang setakat jam 8 pagi hari ini.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, mangsa banjir membabitkan 205 keluarga kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.
Beliau berkata, satu lagi PPS dibuka di daerah Kubang Pasu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau pada jam 11 malam tadi dan menempatkan 26 mangsa dari empat keluarga.
Katanya, dua lagi PPS iaitu di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang mencatatkan jumlah mangsa seramai 106 mangsa dari 29 keluarga manakala PPS SMK Changlun seramai 13 mangsa dari tiga keluarga.
"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Kubang Pasu seramai 141 orang dari 36 keluarga. Selain itu jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Pendang seramai 292 mangsa.
"Mereka ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah iaitu seramai 224 mangsa dari 53 keluarga manakala PPS Dewan Cenderawasih pula menempatkan 68 mangsa dari 22 keluarga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Muaz berkata, mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di daerah Pokok Sena iaitu di PPS Surau Kampung Permatang Limau adalah seramai 25 orang dari lapan keluarga manakala PPS SK Tualang pula seramai sembilan mangsa dari dua keluarga.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pokok Sena yang ditempatkan di dua PPS terbabit adalah 34 orang dari 10 keluarga.
"Mangsa banjir di daerah Kota Setar pula seramai 272 orang dari 79 keluarga berbanding 269 mangsa dari 77 keluarga yang dilaporkan tengah malam tadi.
"PPS di SK Langgar menempatkan 80 mangsa dari 23 keluarga manakala SK Suka Menanti menempatkan 62 mangsa dari 23 keluarga dan PPS Darul Hikmah seramai 106 mangsa dari 28 keluarga.
"Mangsa banjir di SK Haji Wahab pula merekodkan seramai 24 mangsa dari lima keluarga setakat jam 8 pagi hari ini," katanya.
Mohd Muaz berkata, dua PPS di daerah Baling kekal dengan 15 mangsa dari lima keluarga setakat ini manakala PPS di SK Siong menempatkan tujuh mangsa dari empat keluarga dan PPS Tunku Putera seramai lapan mangsa dari sebuah keluarga.