'Jaga keselamatan ketika banjir, elak kejadian tak diingini'November 3, 2021 @ 5:09pm
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan semua penduduk terbabit banjir di negeri itu menjaga keselamatan mereka bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Baginda bertitah, selain lemas, pelbagai insiden buruk boleh berlaku jika tidak berjaga-jaga seperti digigit haiwan berbisa atau berisiko terkena renjatan elektrik jika terdapat kerosakan wayar.
"Semua mangsa sama ada terbabit dengan banjir kilat, peralihan Monsun Timur Laut atau fenomena air pasang besar juga perlu menjaga kebersihan dan tidak menggunakan bahan makanan yang sudah ditenggelami banjir.
"Makanan dalam peti sejuk yang terputus bekalan elektrik melebihi 12 jam juga perlu dibuang dan tidak digunakan lagi apabila banjir surut," titah baginda dalam kenyataan, hari ini.
Baginda sebelum ini singgah di sebuah kedai di Jalan Datuk Ali di sini, yang juga satu daripada projek usahawan yang menerima sumbangan sosioekonomi asnaf daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Beberapa kawasan di Arau dekat sini dilanda banjir sejak semalam akibat hujan lebat pada petang Isnin lalu. – BERNAMA
|