Polis menyaman dua pemandu yang memotong barisan di Kilometer 31.8 Jalan Klang – Teluk Intan di lampu isyarat simpang empat Jeram di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis mengesan dua pemandu tersebut menerusi nombor pendaftaran kenderaan terbabit.
Gambar tular mengenai beberapa kenderaan memotong barisan yang dimuat naik seorang pengendali Facebook pada Isnin.
Menurutnya, berpandukan maklumat itu, pasukannya mengesan kedua-dua mereka di alamat kediaman masing-masing.
"Hasil temu bual dengan dua pemandu mendapati mereka mengaku memotong barisan kenderaan lain kira-kira jam 6.30 petang di lokasi kejadian.
"olis menasihati kedua-dua pemandu supaya memandu dengan bertanggungjawab dan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan lain," katanya.
Beliau berkata, tindakan saman telah diambil terhadap dua pemandu itu mengikut Rule 6(1)A LN166/59 (Memotong Secara Bahaya/Potong Q) kepada kedua-dua pemandu terbabit.
Ramli berkata, pihaknya sebelum ini menerima maklumat berhubung kiriman gambar di laman sosial Facebook berhubung tindakan beberapa pemandu memotong barisan di lampu isyarat terbabit.
"Kami mendapat maklumat selepas tersebarnya gambar pemandu memotong barisan kira-kira jam 7 petang pada Isnin," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian |