|
FILEM Resident Evil tentunya tidak asing lebih-lebih lagi buat peminat permainan video dan siri drama ini yang mula ditayangkan pada 2002.
Sejak itu, nama pelakon utamanya, Milla Jovovich semakin sinonim dengan watak Alice yang dibawanya dalam filem Resident Evil selepas itu.
Kini, Resident Evil kembali dengan filem ketujuhnya yang berjudul Resident Evil: Welcome to Raccoon City.
Membariskan barisan pelakon hebat, filem kali ini membawa penonton untuk kembali ke 1998 apabila sekumpulan mereka yang terselamat daripada serangan zombi menyelamatkan nyawa mereka di Raccoon City.
Bintang utamanya, Kaya Scodelario yang memegang watak sebagai Claire Redfield berkongsi pengalamannya ketika membintangi filem arahan Johannes Roberts ini.
"Saya dilahirkan pada 1991, jadi boleh dikatakan saya membesar dengan menonton filem Resident Evil. Saya jatuh hati dengan filem ini kerana cara ia memaparkan era milenium.
"Apa yang dipaparkan adalah mengenai masa hadapan pada ketika itu iaitu berlatarbelakangkan 2000 dan ke atas. Bukan saja daripada segi jalan cerita, malah muzik, warna, rentak ceritanya, semuanya memang 'gila'," katanya.
Menurut pelakon berusia 30 tahun ini, apa yang dipaparkan dalam filem itu benar-benar meyakinkannya sebagai penonton ketika zaman remajanya.
"Saya masih ingat lagi, dalam fikiran saya pada ketika itu, saya menganggap bahawa apa dipaparkan adalah sesuatu yang benar-benar berlaku.
"Ada beberapa rakan lelaki saya ketika itu bermain permainan video Resident Evil, tapi saya sendiri tak pernah cuba sehinggalah apabila perlu mengkaji mengenai watak yang saya mainkan dalam filem ini," katanya.
Berkongsi persiapannya sebelum melangkah masuk ke set penggambaran, Scodelario cuba menjiwai watak Claire menerusi permainan video.
SCODELARIO membesar dengan Resident Evil.
"Perkara pertama yang saya lakukan selepas membaca skrip adalah membeli PlayStation 4 (PS4) dan juga permainan video Resident Evil. Saya kemudian ditemani suami dan segelas wain, mula bermain permainan video itu.
"Saya kemudian meminta dia untuk bermain sementara saya menonton dan dia sendiri pun tak boleh nak kawal permainan itu.
"Kami berdua akhirnya mencari video YouTube yang dimuat naik oleh pemain permainan video itu dan apa yang boleh saya katakan, ia memang menakutkan," katanya.
Berkongsi rasa teruja, Scodelario juga tidak menafikan bahawa ia adalah tanggungjawab yang besar memandangkan watak Claire sudah menjadi watak yang ikonik.
"Ia menjadi tanggungjawab yang besar buat saya apabila berada dalam filem ini dan ia adalah sesuatu yang saya sangat hormati.
"Peminat sudah membesar dengan Claire sejak zaman-berzaman dan dengan itu, muncul tanggungjawab yang sangat besar.
"Saya berbincang dengan pengarah, Johannes Roberts, bagaimana untuk menggabungkan permainan video dengan filem memandangkan kedua-duanya adalah dari dunia berbeza," katanya.
Walaupun berdepan beberapa kekangan yang memaksa pihak produksi mengubah beberapa perincian dalam watak itu, ada juga beberapa perincian yang terus dikekalkan.
"Ada beberapa perincian contohnya gaya rambut 'ponytail' yang memang sudah menjadi sesuatu yang ikonik, mungkin sukar untuk diadaptasikan dalam filem memandangkan banyak faktor contohnya, babak hujan dan sebagainya akan membuatkan gaya rambut itu tak sesuai.
"Bagaimanapun, kami cuba sedaya upaya untuk kekalkan beberapa perkara yang penting dan sudah biasa dilihat peminat. Contohnya, jaket merah yang dipakai. Kami berusaha mencari jaket yang nampak sama seperti yang ada dalam permainan video pada awal kemunculannya.
"Saya sendiri cuba membuat kajian dan mencari maklumat di Wikipedia mengenai watak Claire daripada makanan kegemarannya, muzik kegemarannya dan banyak lagi bagi memastikan saya berjaya membawakan watak ini dengan baik," katanya.
Tentunya, kehadiran filem Resident Evil: Welcome to Raccoon City yang kini sudah ditayangkan di pawagam tempatan akan mendapat tempat di hati peminat filem.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|