|
ADELE
Adele menangis konsert terpaksa batal sebab Covid-19
PENYANYI Adele menitiskan air mata apabila konsert Las Vegas Residency anjurannya yang dijadualkan berlangsung esok, 21 Januari (waktu Amerika Syarikat) terpaksa dibatalkan dalam tempoh 24 jam sebelum persembahan.
Adele atau nama sebenarnya, Adele Laurie Blue Adkins mengumumkan berita mendukacitakan tersebut menerusi muat naik video Instagram sebentar tadi.
“Saya betul-betul minta maaf. My show ain’t ready (persembahan saya belum sedia). Pihak kami dah mencuba segala yang termampu untuk mengadakan persembahan seperti waktu dirancang.
“Bagaimanapun, semuanya telah dihancurkan oleh kelewatan penghantaran dan Covid-19.
“Separuh kru dan pasukan saya dijangkiti Covid. Mereka masih belum sembuh. Mustahil untuk mengadakan persembahan. Dan, saya tak boleh beri apa yang saya pada diri saya sekarang,” ujarnya dengan wajah sembab dan penuh kekecewaan.
Ujar pelantun lagu Easy On Me itu lagi, dia berasa malu dengan apa yang berlaku namun berjanji akan ada tarikh baharu untuk semua persembahan Las Vegas Residency anjurannya.
“Saya minta maaf perkara ini sangat ‘last minute’. Pihak kami tak boleh lelap sejak lapan jam lalu nak selesaikan masalah ini tapi memang tiada masa.
“Saya sangat terkilan dan sangat-sangat malu. Maaf buat mereka yang terpaksa bepergian (travel) lagi.
“Pihak kami akan menjadualkan semula semua tarikh persembahan. Saya akan selesaikan persembahan dan akan buat apa yang sepatutnya,” katanya.
Adele sepatutnya memulakan persembahan Las Vegas Residency di Caesars Palace, Las Vegas, Amerika Syarikat 21 Januari 2022 (esok waktu AS) namun terpaksa membatalkan segalanya dan menangguhkannya pada tarikh-tarikh baharu yang akan diumumkan dari semasa ke semasa disebabkan permasalahan berpunca wabak Covid-19. – K! ONLINE
|
|