BUTTERWORTH: Sebuah kilang berasaskan makanan di daerah Seberang Perai Utara, di sini dikompaun RM10,000 kerana menyebabkan pencemaran air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.
Kompaun berkenaan dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas menjalankan siasatan ke atas kilang berkenaan semalam.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang awam mengenai keadaan sungai berwarna putih.
"Justeru, pegawai JAS negeri menjalankan siasatan bagi menjejak punca pencemar.
"Penjejakan dibuat menggunakan dron di sekitar kawasan disyaki, seterusnya membawa kepada pemeriksaan ke atas sebuah kilang berasaskan makanan.
"Kilang itu gagal mengendalikan sistem pengolahan effluen perindustrian dengan baik hingga mencemarkan parit awam dan gagal mematuhi pengurusan buangan terjadual mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) 2005," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, disebabkan kesalahan itu kilang berkenaan dikompaun RM10,000 mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009.
"Pihak premis juga diarah mengambil tindakan serta-merta untuk memberhentikan sebarang pelepasan effuen tanpa dirawat dan menutup semua pintasan dipasang secara haram dalam premis kilang untuk mengalirkan air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.
"Selain itu, pihak kilang turut diarah menaik taraf Sistem Pengolahan Effluen sedia ada dan buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan berkaitan mengikut Peraturan Buangan Terjadual 2005," katanya.
Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang membuat aduan dan membekalkan maklumat yang tepat, sekali gus mempercepatkan serta memudahkan JAS mengambil tindakan.