|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/1222polis3_1643694717.jpg)
ANTARA individu yang ditahan. FOTO ihsan Polis
Georgetown: Padah melakukan aksi berbahaya dan menjadikan jalan raya sebagai litar, 23 samseng jalanan ditahan polis dalam operasi khas di Jalan Aziz Ibrahim, Sungai Nibong, di sini, hari ini.
Operasi sempena Tahun Baru Cina itu dilakukan kira-kira 2 pagi membabitkan 21 pegawai dan anggota.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang Superintendan Zafri Zokapli berkata, operasi itu dilakukan susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan berkenaan yang bukan sahaja membahayakan diri tetapi pengguna jalan raya lain.
Katanya, laluan terbabit menjadi tumpuan penunggang motosikal pada waktu malam terutama pada cuti umum dan hujung minggu.
"Kita memberkas 23 individu dan menyita motosikal kerana tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
"Satu daripada penunggang motosikal berkenaan cuba melarikan diri berikutan memiliki air ketum namun suspek berjaya diberkas," katanya di sini, hari ini.
Operasi Samseng Jalanan dan Op Mabuk itu antara yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang, 12 tengah malam hingga 6 pagi tadi.
Keseluruhannya, 26 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 161 saman dikeluarkan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|