|
Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mempersoalkan keengganan peguam negara untuk mendakwa kes terbabit. |
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi wanita mempersoalkan sikap dwistandard dalam kes penghinaan agama, khususnya kurangnya tindakan terhadap seorang penceramah yang memperlekehkan kepercayaan orang bukan Islam.
Sisters in Islam (SiS) mempersoalkan penggunaan budi bicara peguam negara untuk memutuskan “tiada tindakan lanjut” dalam kes itu.
Kumpulan itu menyatakan sikap dwistandard terhadap kes seorang wanita yang dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa menghina Islam, manakala tiada tindakan diambil terhadap seorang pendakwah Islam kerana memperlekehkan kepercayaan orang bukan Islam.
Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini memutuskan untuk tidak mendakwa Syakir Nasoha atas alasan video penceramah itu telah diambil di luar konteks dan tidak menyentuh sensitiviti agama di negara ini.
Pengarah Eksekutif SiS Rozana Isa berkata Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu harus dilayan sama rata.
“Dalam kedua-dua kes itu, rakyat memberi reaksi serta respons besar terhadapnya tetapi, kerajaan menganggap satu kes ini lebih menyinggung perasaan daripada yang lagi satu, berdasarkan tindakan lanjut mereka terhadap dua kes ini,” katanya kepada FMT.
Rozana berkata lebih 3,000 laporan polis dibuat terhadap penceramah itu dan komuniti agama minoriti mungkin menganggap penguatkuasaan undang-undang berat sebelah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkongsi sentimen sama dengan bertanya: “Mengapa penghinaan terhadap Islam atau orang Islam dipandang serius sedangkan penghinaan yang berulang terhadap bukan Islam diabaikan?”
“Adakah penghinaan terhadap Islam dan orang Islam dianggap lebih serius berbanding penghinaan terhadap agama bukan Islam dan orang bukan Islam?”
Beliau juga mempersoalkan keengganan peguam negara untuk mendakwa penceramah terbabit walaupun banyak kes berulang golongan itu menghina kepercayaan orang bukan Islam.
Pengasas Komuniti Muslim Universal, Aizat Shamsuddin berkata, pihak berkuasa tidak boleh terlalu cepat menghukum mereka yang dituduh menghina agama.
“Kes sebegini harus dikaji dengan teliti. Lebih baik bagi orang yang disabitkan kesalahan menyampaikan ucapan kebencian itu diberi kaunseling,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia