View: 731|Reply: 0
|
Malaysia jadi tuan rumah SEAOWSC
[Copy link]
|
|
Tasik Putrajaya menjadi tuan rumah SEAOWSC bermula 2 hingga 4 Februari ini. - Foto ihsan Neptune X.
KUALA LUMPUR: Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) bakal dianjurkan buat julung kalinya bermula 2 hingga 4 Februari depan, dengan Malaysia mendapat penghormatan selaku tuan rumah pertama.
SEAOWSC, yang dikelolakan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bersama Hybrid Management Sdn Bhd sebagai Rakan Acara dan Logistiknya, dijangka menghimpunkan lebih 400 perenang elit dan amatur dari rantau ini bagi merancakkan saingan yang akan bertempat di Tasik Putrajaya, sekaligus meneruskan kemeriahan sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan pada 1 Februari.
Terkenal dengan keindahannya, Tasik Putrajaya sebelum ini pernah menglangsungkan Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia ketujuh dan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur, kedua-duanya pada 2017.
Di venue ikonik inilah menjadi saksi kepada kejayaan dua bekas perenang kebanggaan negara iaitu Kevin Yeap dan Heidi Gan meraih pingat emas Sukan SEA bagi acara 10km lelaki dan wanita masing-masing.
Setakat ini, enam buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina telahpun mengesahkan penyertaan untuk kejohanan yang disanksi oleh Persekutuan Renang Asia Tenggara (SEASF) itu.
Sebanyak enam kategori akan dipertandingkan di SEAOWSC membabitkan jarak 5km dan maraton 10km untuk lelaki dan Wanita serta renang berganti-ganti berpasukan campuran 4x1.5km.
Tumpuan utama akan terarah kepada perebutan gelaran Raja dan Ratu maraton 10km Asia Tenggara.
Setiausaha Agung MAS Mae Chen menganggap penganjuran SEAOWSC sebagai satu perkembangan yang positif dan penting bagi sukan renang perairan terbuka di Malaysia.
"Objektif utama penganjuran SEAOWSC adalah bagi membangunkan sukan renang perairan terbuka yang begitu berpotensi di rantau Asia Tenggara, di samping mencungkil bakat baharu," kata Mae.
"Kami mahukan SEAOWSC menjadi pentas untuk para perenang di rantau ini untuk menguji kebolehan masing-masing dalam persekitaran pertandingan yang kompetitif dan selamat.
"Sejak renang perairan terbuka dipertandingan untuk kali pertama pada Sukan Olimpik Beijing pada 2008, sukan ini sebenarnya mula mendapat tumpuan di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.
"Justeru, menerusi Kejohanan ini, kami akan dapat mengenalpasti bakat baharu yang boleh diketengahkan dan seterusnya melahirkan sekumpulan besar perenang yang kompetitif. Mudah-mudahan renang perairan terbuka ini akan menjadi acara yang kekal pada setiap temasya Sukan SEA.
"MAS ingin melahirkan penghargaan kepada semua pemegang taruh, Kementerian Belia dan Sukan, penaja venue Perbadan Putrajaya serta Rakan Acara dan Logistik kami Hybrid Management Sdn Bhd serta lain-lain penaja yang menyumbang kepada Kejohanan sulung ini."
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadhlun Mak Ujud memberitahu pihaknya berasa teruja untuk menjadi hos kepada satu lagi kejohanan bertaraf antarabangsa, lebih-lebih lagi bersempena Hari Wilayah Persekutuan.
"Penganjuran SEAOWSC di Putrajaya pada Februari depan tentunya menambah lagi kemeriahan sambutan Hari Wilayah Persekutuan," kata Fadhlun.
"Tasik Putrajaya merupakan venue ikonik yang pernah menganjurkan beberapa acara berprestij seperti Kejohanan Dunia Red Bull Air Race, Kejohanan Dunia F1 Powerboat, Kejohanan Kenu Asia dan Sukan SEA Kuala Lumpur. Maka SEAOWSC bakal menjadi sebahagian daripada senarai panjang acara yang pernah berlangsung di tasik yang tersergam indah ini.
"Kami mengharapkan agar acara ini akan menjadi saksi kepada lebih banyak detik bersejarah dah tidak dilupakan."
https://www.bharian.com.my/sukan ... -tuan-rumah-seaowsc |
|
|
|
|
|
|
| |
|