|
LAS VEGAS, NEVADA – Gara-gara mengadu bahawa tempat duduk mereka mempunyai kesan muntah, dua penumpang syarikat penerbangan Air Canada diarah turun dari pesawat.
Akhbar New York Post melaporkan, kejadian itu dikongsi seorang wanita, Susan Benson yang menaiki Penerbangan 1706 dari Las Vegas, Nevada menuju ke Montreal, Kanada pada 26 Ogos lalu.
Menurut Benson, dua penumpang wanita pada awalnya mengadu kepada pramugari selepas tidak tahan menghidu bau muntah yang tengik pada tempat duduk mereka.
Foto: Shutterstock
“Terdapat bau busuk (pada tempat duduk) tetapi kami tidak tahu puncanya. Nampaknya sebelum ini seseorang telah muntah di kawasan itu,” tulis Benson di Facebook.
Dua wanita itu kemudian diarahkan oleh juruterbang untuk keluar dari pesawat kerana dikatakan bertindak biadab dengan pramugari.
Benson dan rakannya cuba mempertahankan dua wanita itu tetapi kedua-dua mereka akhirnya dihalau keluar oleh pengawal keselamatan.
“Saya tidak berhenti memikirkan dua wanita ini. Mereka tidak melakukan kesalahan. Saya malu menjadi warga Kanada dan malu dengan Air Canada,” jelasnya.
Benson turut mengecam tingkah laku kakitangan Air Canada kerana tidak membersihkan kesan muntah itu dengan baik.
Sebaliknya, mereka hanya meletakkan kantung serbuk kopi di tempat duduk dan menyembur minyak wangi untuk menutup bau busuk.
Susulan dakwaan itu, Air Canada menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut dan cuba menghubungi penumpang wanita berkenaan untuk meminta maaf. – CARI
Sumber: Kosmo |
|