Terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin, penyanyi, Datuk Nash pernah menyuarakan isu penindasan rakyat Gaza menerusi lagu yang diciptanya bertajuk Ya Maulana.
Katanya, lagu Ya Maulana yang diterbitkan pada tahun 1993 itu dihasilkan bagi memperingati Nakbah iaitu peristiwa pengusiran rakyat Palestin sejak tahun 1948.
“Palestin sudah menderita lebih 70 tahun. Dari dahulu lagi saya sudah menyuarakan peperangan Palestin dalam lagu Ya Maulana ciptaan kumpulan Lefthanded.
“Lagu itu ada bunyi peperangan. Saya ajak pendengar untuk hayati liriknya. Ia lagu semangat sama seperti lagu-lagu intifada dan perjuangan yang lain hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bercakap mengenai lirik lagu, Nash menekankan bahawa lirik-lirik lagu kumpulan Lefhanded selalu bercakap tentang kerohanian.
“Saya bersukur kerana 90 peratus lagu kumpulan kami ialah tentang Ketuhanan. Kita tiada lagu yang melalaikan.
“Contohnya lagu Di Halaman Rindu, mungkin orang ingat bercakap tentang kekasih, tapi sebenarnya ia tentang taubat dan menyesali perbuatan kepada Tuhan,” tambahnya.
Bagi mengutip dana untuk rakyat Palestin, Nash bakal terlibat dengan acara Makan Malam Amal Kaseh PLG dan Konsert Mini bersama Datuk Jamal Abdillah.
Majlis akan berlangsung pada 22 Disember di Hotel Royale Chulan Seremban.
Sumber: Utusan
|