|
Penyanyi, Tomok sejak dari dulu lagi sangat menjaga batas pergaulan sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.
Pemilik nama sebenar, Shah Indrawan Ismai, 39, berkata dia meletakkan had dan berusaha menjaga perkara itu ketika berada di pentas membuat persembahan.
"Saya sendiri ketika membuat persembahan, saya kena tahu sampai mana limit yang saya boleh buat.
"Saya memang dari dulu lagi menitikberatkan benda ini. Memang perlu jaga," katanya.
Bagaimanapun, penyanyi itu enggan mengulas secara berlebihan kerana bimbang kelak memakan diri.
"Susah nak kata, takut patah kat diri saya. Saya cuba jaga sebaik mungkin," ujarnya.
Sebelum ini, netizen mengkritik persembahan Naqiu di All Star Gegar Vaganza yang bersentuhan dengan Misha Omar ketika membuat persembahan hingga ada yang membandingkannya dengan Tomok.
Kata Tomok, perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana masing-masing ada cara tersendiri.
Malahan, tindakan Naqiu yang membuat permohonan maaf atas perkara itu patut diberikan pujian kerana dia berani mengakui kesilapannya.
"Bagi saya, masing-masing ada cara tersendiri dan saya pasti Naqiu pun sudah meminta maaf. Saya rasa benda ini semua orang ada kekhilafan yang mereka buat.
"Saya pun hormat dan puji dia sebab mohon maaf. Ini perkara baik yang kita kena puji," katanya.
Sumber: mStar |
|