PETALING JAYA: Zayn Rayyan Abdul Matiin yang hilang dan ditemukan tidak bernyawa semalam berdekatan sebatang sungai, dipercayai meninggal dunia di tempat lain.
Berdasarkan siasatan setakat ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis merumuskan mayat kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu diletakkan di tempat ia ditemui.
“Selama dua hari melalui tempat yang sama tak bertemu pun dengan mangsa tapi ditemui kemudian pada hari yg kedua lewat malam.
“Kita merumuskan bahawa mangsa tak mati di tempat kejadian. Mati ditempat lain dan diletakkan disitu,” katanya pada sidang media tergempar malam tadi.
Berdasarkan bedah siasat, Shuhaily berkata Zayn kemungkinan sudah meninggal dunia selama 48 jam.
“Yang pasti punca bukan sebab lemas,” katanya.
Shuhaily berkata polis ambil maklum tempat di mana mayat Zayn ditemui bukan laluan harian orang ramai, maka dipercayai suspek tahu kawasan itu.
Dalam pada itu, Bukit Aman dan IPK Selangor diatur untuk membantu IPD Petaling Jaya mengesan suspek.
“Saya merayu masyarakat kalau ada maklumat marilah bantu polis,” katanya.
Shuhaily memaklumkan polis baru mengambil keterangan ibu bapa Zayn.
Zayn dilaporkan hilang sejak kelmarin dan ditemui meninggal dunia di kawasan sungai pada 10 malam Rabu.
SHAH ALAM - Polis masih menyiasat punca kecederaan pada leher yang dialami Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin susulan bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh pada Khamis.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan menjurus kepada punca sebenar kematian mangsa.
"Bedah siasat yang dijalankan selama lima jam itu mendapati memang ada kesan cedera pada bahagian leher mangsa, dan beberapa bahagian tubuh lain.
"Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan secara langsung sama ada kesan tersebut berpunca daripada jerutan atau apa-apa yang mengakibatkan kematian mangsa kerana ia masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.