CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1454|Reply: 1

[Tempatan] Kes 1MDB: Najib percaya Blackstone dikawal Arab Saudi, Raja Abdullah - Saksi

[Copy link]
Post time 27-4-2024 06:55 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Sabtu selama ini Datuk Seri Najib Tun Razak mempercayai bahawa syarikat shell, Blackstone Asia Real Estate Partners dikawal oleh kerajaan Arab Saudi dan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi.
Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin, 37, berkata demikian semasa prosiding kes empat pertuduhan membabitkan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Ketika disoal balas oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib, 71, Nur Aida berkata, bekas Presiden UMNO itu memaklumkan perkara tersebut ketika merekodkan keterangan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan percaya bahawa Blackstone Asia Real Estate Partners yang menerima dana milik 1MDB, akhirnya dimasukkan ke akaun bank peribadinya

Ketika sesi soal balas peguam, Nur Aida berkata, ia adalah membabitkan transaksi yang berlaku antara Blackstone dan akaun peribadi Najib yang berakhir nombor 9694.

Wan Azwan Aiman: Semasa pegawai SPRM mengambil kenyataan, Najib percaya bahawa Blackstone dimiliki atau dikawal oleh Allahyarham Raja Abdullah dan kerajaan Arab Saudi?

Nur Aida: Ya, betul.

Untuk rekod, Blackstone dikatakan syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau dipanggil Eric Tan.

Wan Azwan Aiman: Andakah puan bersetuju bahawa, semasa rakaman percakapan direkodkan oleh SPRM, Najib tidak pernah ditunjukkan dengan apa-apa dokumen menunjukkan bahawa Eric Tan adalah penerima manfaat bagi Blackstone?

Nur Aida: Setuju.

Wan Azwan Aiman: Saya katakan, Najib tidak pernah arahkan Eric Tan untuk memindahkan RM90,899,927.30 ke akaun bank peribadinya pada 2012.

Nur Aida: Setuju.

Selepas ditanya, saksi itu juga bersetuju bahawa SPRM tidak mengambil sebarang kenyataan daripada Eric Tan berkaitan transaksi tersebut.
Sebelum ini, Jho Low dikatakan menubuhkan Blackstone Asia Real Estate Partners, iaitu nama yang sama dengan firma ekuiti swasta hartanah, Blackstone Real Estate.

Ahli perniagaan dalam buruan terbabit dipercayai sengaja menggunakan nama untuk syarikat shell luar pesisir, menyerupai syarikat yang telah kukuh, demi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.
Nur Aida juga bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan, bahawa Najib tidak pernah ditunjukkan sebarang dokumen berhubung pemilikan Blackstone Asia Real Estate Partners sewaktu disoal siasat.

Pada perbicaraan sebelum ini, penganalisis daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, memberitahu bahawa akaun peribadi Najib telah menerima kemasukan AS$30 juta (RM90.9 juta) daripada Blackstone, antara 30 Oktober dan 19 November 2012
Jumlah tersebut dikreditkan ke akaun Najib daripada akaun Standard Charterd Bank, Singapura atas nama Blackstone dan boleh dikesan daripada bon yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) pada tahun 2012.

Sementara itu, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan ketika memberi keterangan menyatakan, Jho Low pernah memintanya agar tidak bimbang dengan kemasukan wang yang besar ke akaun Najib.
Bukan itu sahaja, Jasmine juga mendakwa Jho Low mempunyai bukti, untuk menunjukkan perkara yang dilakukan, adalah mengikut permintaan, kehendak dan dalam pengetahuan Najib.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Selasa.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 27-4-2024 07:41 PM | Show all posts

Najib percaya Blackstone milik Almarhum Raja Abdullah - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak ketika disoal siasat, percaya syarikat pelaburan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd (Blackstone) dimiliki dan dikawal Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi.

Blackstone dikatakan ditubuhkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu nama sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dan sengaja menggunakan nama itu bagi menyerupai syarikat yang sudah matang dalam konspirasi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Pada perbicaraan hari ini, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, bahawa Najib percaya syarikat itu milik Almarhum Raja Abdullah ketika dirakamkan percakapan oleh pegawai perakam SPRM.

Saksi pendakwaan ke-49 itu juga bersetuju bahawa Najib ketika itu, tidak ditunjukkan dengan sebarang dokumen untuk menunjukkan bahawa sekutu Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong adalah pemilik benefiasiari (pihak berkepentingan atau pemilik sebenar) Blackstone.

Nur Aida berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan pada Mac lalu mendengar keterangan pakar pemulihan aset luar pesisir, Angela Barkhouse, yang memberitahu mahkamah bahawa Najib menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya daripada Blackstone Asia.

Barkhouse berkata, dana yang diterima itu membabitkan transaksi AS$70 juta pada 29 Disember 2011, serta masing-masing AS$25 juta pada 12 Mac 2012 dan 22 Mei 2012.

Saksi itu berkata, asas keterangan beliau itu adalah berdasarkan kepada aliran dana di mana ia melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang (Diperbadankan) (KWAP).

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, pula sebelum ini memberitahu mahkamah, akaun peribadi Najib menerima kemasukan AS$30 juta (RM90.9 juta) daripada Blackstone antara 30 Oktober dan 19 November 2012.

Katanya, ia dikreditkan ke akaun Najib daripada akaun Standard Charterd Bank, Singapura atas nama Blackstone dan boleh dikesan daripada bon yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) pada 2012.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini.

Najib (tengah) hadir bagi sambung perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi hari ini. - BERNAMA



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

9-5-2024 11:02 PM GMT+8 , Processed in 0.379737 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list