KUALA LUMPUR: Semua graduan diploma bidang 'Internet-Of-Thing (IOT)' Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Petaling Jaya sudah mendapat pekerjaan dengan menerima gaji premium antara RM3,000 hingga RM3,500.
Mengumumkan perkembangan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka adalah kumpulan pertama yang mengikuti kursus berkenaan.
Katanya, IOT adalah satu daripada cabang teknologi tinggi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menggunakan pendekatan kecerdasan buatan (AI) yang mana KKTM menjadi institusi pendidikan pertama diiktiraf Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA) dalam bidang itu.
Menurutnya, KKTM menawarkan pengajian berdasarkan pendekatan 70 peratus amali dan 30 peratus teori, yang menjadikan pelajar cepat menguasai ilmu serta kemahiran.
"Kagum saya melihat pelajar-pelajar di sini menunjukkan demonstrasi kemahiran mereka dalam AI dan IOT, menginovasikan dan mengaplikasikan ilmu coding, robotik dan elektronik yang dipelajari dalam pelbagai bidang agro-pertanian, keselamatan, kawalan jarak jauh mesin dan pelbagai lagi.
"Sebab itulah, graduan KKTM ini bagaikan 'pisang goreng' dipancing industri dengan tawaran gaji permulaan lumayan," katanya dalam satu hantaran pada akaun media sosial miliknya hari ini.
Semalam Asyraf Wajdi melawat KKTM dan sempat melihat pelbagai demonstrasi kemahiran peralatan yang dibangunkan pelajar berkenaan.
Asyraf berkata ketika berucap dalam lawatan berkenaan, beliau turut menawarkan pelajar KKTM Petaling Jaya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sama ada di dalam atau luar negara dengan tajaan penuh MARA.
Malah, katanya MARA akan memberikan keutamaan kepada kumpulan pelajar itu untuk meneruskan pengajian di China, Jepun dan Jerman bagi mengkhususkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang AI dan IOT.
"InsyaAllah melalui Agenda 3P (Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan) yang saya perkenalkan di MARA, bidang IOT dan AI akan dijadikan antara sektor utama untuk MARA melahirkan lebih ramai pakar Bumiputera-Melayu dalam teknologi terkini dan berimpak tinggi," katanya.
BH
|