|
MARTIAL (kiri) menyertai United sejak September 2015. FOTO AFP
Manchester: Penyerang Perancis, Anthony Martial mengesahkan dia akan meninggalkan Manchester United selepas sembilan tahun bersama kelab berkenaan.
"Dengan penuh emosi saya menulis surat kepada anda hari ini untuk mengucapkan selamat tinggal. Selepas sembilan tahun yang luar biasa di kelab ini, sudah tiba masanya untuk saya membuka lembaran baharu dalam karier saya," kata Martial dalam satu kenyataan di Instagram.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam perpindahan £36 juta (RM215 juta) dari Monaco pada September 2015 tetapi gagal memenuhi jangkaan.
Dia tidak beraksi sejak Disember selepas menjalani pembedahan pangkal paha.
Semasa berada di England, Martial memenangi Piala FA, Piala Liga, Liga Europa tetapi bukan EPL mahupun Liga Juara-Juara.
Dia bermain 317 perlawanan dan menjaringkan 90 gol dalam semua pertandingan.
"Manchester United akan sentiasa berada di hati saya. Kelab ini meninggalkan jejaknya dalam karier saya dan menawarkan saya peluang yang luar biasa untuk bermain di hadapan anda," sambung Martial, yang pernah dipinjamkan pada 2022 di Sevilla.
"Saya akan pergi untuk menyahut cabaran baharu, saya akan sentiasa menjadi Red Devil dan saya akan terus mengikuti keputusan kelab dengan penuh semangat."
Kontrak Martial tamat pada musim panas ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... h-tinggalkan-united |
|