|
GENAP dua bulan disahkan menghidap kanser paru-paru, pelakon veteran, Kamal Bakar menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka pada pukul 1 pagi tadi.
Berita duka itu disampaikan anak sulungnya yang juga seorang pelakon, Muhammad Hanis Kamaruldzaman, 35.
Hanis berkata, jenazah bapanya akan diuruskan di Hospital Melaka dahulu sebelum dibawa ke Masjid Bukit Baru, Melaka.
Kami sekeluarga sedang menguruskan jenazah arwah untuk dibawa pulang ke rumah.
“Selepas itu, dari rumah kami akan bawa ke Masjid Bukit Baru untuk menyempurnakan urusan mandi jenazah.
Sejurus selesai solat jenazah, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru, Melaka,” katanya.
Pada Sabtu lalu Kamal dimaklumkan dalam keadaan nazak selepas dua minggu dirawat di ICU, Hospital Melaka akibat kanser yang sudah memasuki tahap empat.
Doktor dilaporkan meminta waris bersedia dengan sebarang kemungkinan selepas adanya jangkitan kuman.
Terdahulu, pada 3 Jun lalu, Kamal dihantar bagi mendapatkan rawatan di Hospital Melaka berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
Selepas ke ICU Hospital Melaka dan mendapatkan rawatan, Kamal disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan ditidurkan pada 17 Jun berikutan komplikasi serta kurang oksigen.
Kamal memulakan kerjaya lakonan sejak pada era 1970-an dengan membintangi banyak drama dan filem termasuk Orang Minyak, Andai Itu Takdirnya, Suami Aku Ustaz, Pendekar dan Ratu Ten Pin.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sarina Shariff, 56, dan lima cahaya mata.
Sumber – HIBGLAM |
|