|
Edited by mizzmimi at 23-7-2024 03:28 PM
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/07/1275221/datuk-red-pilih-adira-nikah-semula-tahun-depan?utm_source=BHWhatsAppChannel&utm_medium=Traffic&utm_campaign=News
Datuk Red pilih Adira, nikah semula tahun depan
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Julai 23, 2024 @ 2:59pm
[email protected]
Datuk Red mempunyai alasan memilih Adira dan enggan menjelaskan kepada umum.
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu, 46, memohon orang ramai mendoakan perancangan untuk kembali memperisterikan bekas isterinya, Adira pada Aidilfitri tahun depan.
Adnan atau lebih mesra disapa Datuk Red berkata, dia berhasrat mengadakan majlis yang meriah, memandangkan mereka tidak pernah mengadakan majlis perkahwinan sebelum ini.
Kata Adnan, dia enggan terburu-buru kembali berumahtangga kerana mahu memberikan fokus melangsaikan hutang terlebih dulu.
"Kami sudah berbincang dan memaklumkan kepada abang Adira, minta jadi wali pernikahan kami nanti.
"Sebenarnya, saya sahaja tanya adakah Adira mahu kembali semula ke pangkuan saya? Tak sangka Adira setuju dan minta majlis pernikahan dilangsungkan pada hujung tahun.
"Tapi, atas sebab tertentu, saya minta tangguh sampai Aidilfitri tahun depan. Jadi doakanlah semoga segala perancangan kami dipermudahkan," katanya ketika dihubungi BH Online.
Sementara itu, mengulas adakah memilih kembali kepada Adira kerana mahu menumpang populariti bekas isterinya yang berstatus selebriti, Adnan menyangkal dakwaan itu.
Katanya, dia mempunyai alasan kenapa memilih Adira dan perkara itu tidak perlu dijelaskan kepada umum.
Adnan berkata, dia tidak lagi berhasrat untuk memiliki dua isteri seperti sebelumnya kerana tanggungjawab itu bukan mudah.
"Bukan sebab Adira berstatus selebriti, jadi saya pilih dia. Masa untuk dipilih sudah berlalu kerana tempoh esah untuk kedua-dua bekas isteri sudah berakhir.
"Jadi, ini adalah masa untuk saya buat pilihan. Ada sebab musabab kenapa saya memilih Adira. Saya sudah malas nak cari pengganti baharu dan mulakan semuanya dari bawah.
"Orang luar tiada dalam dalam kehidupan saya, jadi mereka tak tahu apa berlaku," katanya.
Tambah Adnan, dia tidak akan mempersia-siakan peluang kedua memandangkan usianya pun bukan muda lagi.
"Saya kena ubah cara hidup dan akan fokus pada keluarga dan kerja sahaja. Saya akan usaha untuk langsaikan hutang yang ada.
"Lagipun, bukan mudah hidup sendirian. Bila ada isteri uruskan hidup maka mudahlah sikit kehidupan," katanya
Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Bagaimanapun ikatan perkahwinan sembilan tahun itu berakhir dengan penceraian pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 6: Asan, 5: Anggun, 4, dan Ayob, 1.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|