|
KONSEP kumpulan idola atau idol group sememangnya agak asing di Malaysia meskipun ia sudah lama diperkenalkan di negara Asia lain seperti Jepun dan Korea Selatan.
Berani mencipta kelainan, 48 Entertaiment mencuba nasib mempertaruhkan konsep tersebut buat pertama kali di Malaysia dengan memperkenalkan kumpulan KLP48.
Berpengkalan di Kuala Lumpur, KLP48 merupakan salah satu legasi kepada kumpulan idola Jepun iaitu AKB48 yang bermula sejak 2005.
Kata Pengarah 48 Entertaiment Sdn Bhd, Yip Chuan Huei, pihaknya akan mengetengahkan konsep 'idola yang boleh anda temui' seperti yang diguna pakai oleh AKB48 sebelum ini.
Jelasnya, anggota KLP48 diberi kebebasan untuk berinteraksi secara rapat dengan peminat-peminat mereka.
"Konsep idol memang agak asing di Malaysia, tapi konsep yang kami ketengahkan masih sama dengan AKB48 di Jepun.
"Peminat berpeluang berinteraksi secara dekat dengan semua anggota kumpulan seperti kawan namun tetap menjaga batas.
"Saya percaya dengan cara itu mereka mampu tarik perhatian masyrakat di Malaysia," katanya kepada mStar.
Chuan Huei berkongsi perkara itu menerusi sidang media memperkenalkan anggota generasi pertama KLP48 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu.
KLP48 dianggotai oleh 13 ahli dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Jepun, Indonesia dan Hong Kong.
Dalam pada itu, Chuan Huei menyifatkan KLP48 sebagai kumpulan yang unik kerana terdiri daripada ahli dari pelbagai etnik kaum.
Malah kesemua anggota juga berkebolehan untuk berkomunikasi lebih dari dua bahasa membuatkan mereka lebih menonjol daripada kumpulan legasi lain.
"Apa yang uniknya tentang KLP48 ini, ahli kami terdiri dari pelbagai etnik membuatkan kami lain dari lain.
"Semua anggota mempunyai kebolehan berbahasa asing, malah kebanyakan mereka boleh bercakap lebih dari dua bahasa.
"Kepelbagaian yang kami tonjolkan inilah yang buat kami istimewa di mata peminat memandangkan kami boleh nyanyi dalam pelbagai bahasa," ujarnya.
Selain KLP48, terdapat kumpulan legasi lain yang diperkenalkan di rantau Asia Tenggara termasuk JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila) dan CGM48 (Chiang Mai).
Sempena acara debut, KLP48 dijadualkan bakal menyertai konsert AKB48 Group Live in KL 2024 'Fisrt Cry' di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Ogos depan.
|
|