Butterworth: Reman terhadap lelaki yang mengugut dan cuba membunuh bekas teman wanitanya di sebuah pasar raya di Bagan Ajam, di sini, Ahad lalu sehingga video perbuatannya tular di media sosial disambung sehari lagi.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Pegawai Pendaftar Nuha Farzana Nor 'Azam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, suspek berusia 30-an yang mengenakan pakaian lokap berwarna jingga tiba di Mahkamah Butterworth, di sini, dengan diiringi anggota polis kira-kira 10.55 pagi.
Media semalam melaporkan lelaki direman bermula Isnin lalu selepas ditahan kerana mengugut dan bertindak cuba membunuh bekas teman wanitanya di sebuah pasar raya.
Dalam insiden berkenaan, suspek mengacukan pisau sementara tangan kirinya merangkul leher mangsa.
Mangsa mengalami kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut untuk melepaskan diri.
Orang ramai yang berada di lokasi kemudian menenangkan suspek sebelum mereka bertindak menahan suspek dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.