|
Pelakon yang juga Askar Wataniah berpangkat Leftenan, Ashraf Muslim, mengajak orang awam untuk sama-sama menyertai dunia ketenteraan dengan menjadi askar sukarela.
Menerusi video yang dimuat naik ke media sosialnya, Ashraf, 43, menggalakkan orang awam untuk terbabit sama memandangkan banyak kelebihan dan kebaikan bukan sahaja untuk mereka yang menyertai, tetapi juga kepada orang sekeliling dan negara.
"Saya nak beritahu kepada mereka di luar sana yang berminat dengan dunia ketenteraan, askar, senjata dan 'survival', ada ilmu-ilmu itu dan rugi kalau kita tak belajar.
"Bukan suruh jadi askar sepenuh masa, tapi sukarela. Askar sukarela adalah askar simpanan dan ada banyak kelebihan dan kebaikan untuk diri kita, keluarga kita, orang di sekeliling kita, tempat tinggal kita dan akhir sekali, negara kita.
"Jadi, mungkin ada yang di luar sana nak menjadi sebahagian dalam ketenteraan, boleh bersama-sama dengan saya, bersama-sama kami askar wataniah dan sesiapa yang berada di Lembah Klang nak masuk ke 515 (Rejimen 515), saya syorkan datang sebab kita ada latihan," katanya.
Ashraf juga memaklumkan, kini sedang berlangsung beberapa sesi latihan antaranya Latihan Aplikasi Peperangan Konvensional (CW) dan Peperangan Melawan Insurgensi (CIW).
"Contohnya, sekarang kita ada latihan APMS, kita ada buat latihan medan di Bentong. Jadi, sedang dilakukan CIW dan CW. Sangat menarik.
"Jadi, kepada yang berminat, asyik tengok cerita atau main permainan di telefon, apa kata cuba rasa bagaimana. Kalau berani dan rasa anak jantan. Mari sertai askar wataniah," katanya.
Terdahulu, Ashraf ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada Mac lalu.
Sumber: Harian Metro
|
|