CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 53034|Reply: 0

[Sarawak] Hormati 31 Ogos dan 16 Sept, tidak harus dipolemikkan

[Copy link]
Post time 1-9-2024 06:03 PM | Show all posts |Read mode


SIBU: Semua rakyat Malaysia perlu menghormati tarikh 31 Ogos dan 16 September, dan tarikh-tarikh ini tidak lagi harus dipolemikkan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, tarikh-tarikh tersebut perlu dihormati dan difahami pengertiannya oleh semua rakyat negara ini supaya usaha pembinaan dan pembangunan negara dapat diberi perhatian sepenuhnya.

“Tarikh 31 Ogos mungkin membawa pengertian yang berbeza antara rakyat di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

“Namun, pengertian yang berlainan ini tidak harus menjadi halangan kepada rakyat antara ketiga-tiga wilayah ini untuk saling hormat menghormati dalam usaha bersama untuk membina Malaysia yang progressif dan utuh.

“Apa yang lebih penting sebagai rakyat Malaysia dengan semangat “Segulai Sejalai’ ialah rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh ini sebagai tarikh yang begitu penting untuk rakyat di Semenanjung dan kepada negara, sama seperti  menghormati tarikh 16 September yang amat penting kepada bukan sahaja kepada rakyat di Sabah dan Sarawak tetapi dan juga kepada negara keseluruhannya.

“Kita harus terus bergerak ke hadapan dan tidak dikongkong oleh sentimen tersebut dan mengabaikan tanggungjawab bersama kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.

Selain itu, setelah berada dalam Persekutuan Malaysia selama 61 tahun, Abang Johari berkata bahawa tidak dapat dinafikan Sarawak sudah jauh berubah daripada keadaan ketika itu.

Namun, katanya, tidak dapat dinafikan juga bahawa banyak perkara yang masih belum tercapai dari segi pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

“Tetapi saya yakin Sarawak boleh mengejar pembangunan seperti yang dinikmati oleh rakyat di Semenanjung dalam suasana keluarga Malaysia yang besar di mana setiap wilayah diberi perhatian dan peluang yang secukupnya ke arah kemajuan yang seimbang antara wilayah.

“Kalau Semenanjung maju, Sarawak dan Sabah juga maju, saya yakin negara ini akan menjadi lebih kukuh perpaduan rakyat dan wilayahnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sebagai sebahagian daripada Persekutuan, jalan yang akan mengwujudkan keadaan menang-menang kepada semua pihak ialah melalui perkongsian, kolaborasi dan kerjasama tanpa menidakkan hak mana-mana pihak.

Beliau menyifatkan, semangat ini ditonjolkan oleh Sarawak menerusi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 baru-baru ini dan penganjuran bersama untuk Sukan SEA pada 2027.

“Baru-baru ini Sarawak telah berjaya menjadi tuan rumah SUKMA Ke-21 walaupun 2024 bukan giliran Sarawak untuk menjadi tuan rumah. Namun, atas semangat kerjasama dalam gagasan Kerajaan Perpaduan Sarawak telah menyahut cabaran untuk menjadi hos pada tahun ini.

“Saya ingin juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju dengan tawaran Sarawak untuk menjadi penganjur bersama untuk Sukan SEA pada 2027 dengan anggaran kos RM350 juta daripada RM700 juta keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Seramai 1,500 jemputan memeriahkan majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai yang juga menteri
bertanggungjawab sambutan perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan kenamaan yang lain.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 08:07 AM GMT+8 , Processed in 0.234645 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list