CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 36888|Reply: 0

[Sarawak] Pendidikan tinggi percuma hanya untuk kursus tertentu bersifat praktikal, berhemat, berpandangan jauh

[Copy link]
Post time 3-9-2024 04:20 PM | Show all posts |Read mode


LO

KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak memberi pendidikan tinggi percuma hanya untuk bidang kursus tertentu adalah bersifat praktikal, berhemat dan berpandangan jauh yang harus dipuji.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata demikian susulan kritikan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen terhadap keputusan Kerajaan Sarawak memberikan pendidikan tinggi percuma hanya kepada bidang tertentu bermula 2026.

"Dengan menyasarkan kursus atau bidang pengajian tertentu, kerajaan menyelaraskan pelaburannya dengan keperluan serantau dan keutamaan ekonomi masa depan.

"Tumpuan strategik ini bukanlah satu batasan tetapi usaha dirancang teliti untuk mengoptimumkan penggunaan sumber yang boleh memberi impak yang paling besar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lo berkata pendekatan Kerajaan Sarawak itu juga mencerminkan komitmennya bagi mengelakkan perbelanjaan sembarangan dan memastikan pelaburan pendidikan memberi manfaat ketara untuk pertumbuhan Sarawak.

Lo menegaskan bahawa pengkritik yang meminta pendidikan percuma sejagat merentas semua kursus mungkin terlepas pandang kepentingan peruntukan sumber strategik.

Menurutnya kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang berusaha gigih untuk menjana pendapatan bagi Sarawak, maka penting membelanjakan sumber yang ada dengan bijak, terutama bagi keperluan jangka panjang.

Menjelas lanjut beliau berkata dengan mengutamakan bidang yang mempunyai keperluan paling mendesak, seperti sains dan teknikal yang berdepan masalah kekurangan, jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pelaburan yang berkesan serta mampan.

“Pendekatan ini mencerminkan amalan di negara lain seperti UK (United Kingdom) di mana pendidikan percuma atau bersubsidi selalunya tersedia untuk sektor permintaan tinggi seperti kejururawatan dan guru (pendidik).

"Begitu juga di Australia, pemberian subsidi sering dikhaskan untuk kursus yang mempunyai kekurangan kemahiran yang dikenal pasti seperti pendidikan awal kanak-kanak, mencerminkan pelaburan strategik dalam bidang kritikal," katanya.

Sehubungan itu kata Lo, daripada mengkritik, Chong sepatutnya menyokong peningkatan pembiayaan persekutuan bagi menangani keperluan kesihatan dan pendidikan di Sarawak.

“Kecaman Chong bahawa kerajaan GPS yang dikatakannya memungkiri janjinya (menyediakan pendidikan percuma) mendedahkan kekurangan pemahamannya tentang konteks yang lebih luas.

"Adalah penting untuk memahami mengapa pelarasan perlu dibuat terhadap pelan awal dan mengapa ini tidak dikatakan mungkir janji,” katanya.

Beliau menambah tanggapan Chong bahawa kerajaan telah mungkir janji kerana terlepas pandang kerumitan wujud dalam melaksanakan dasar ini.

Menurut Lo, janji mesti disesuaikan apabila keadaan berubah dan apabila perancangan terperinci mendedahkan kepraktisan pelaksanaan.

"Keputusan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada kursus tertentu tidak menafikan komitmennya untuk menyediakan pendidikan percuma sebaliknya ia boleh mewakili pelarasan berhemat untuk memastikan daya maju jangka panjang inisiatif itu," katanya.

Pada Rabu lepas, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah pada satu majlis di Sibu memberitahu media, pendidikan tinggi percuma bermula 2026 akan memfokus kepada kursus tertentu dalam sains dan teknikal.

Sagah berkata kursus-kursus pilihan ini dianggap mempunyai potensi tinggi dalam pasaran pekerjaan semasa.

"Bagi bidang sastera, mungkin ia (pendidikan tinggi percuma) akan diberikan kepada mereka yang mengambil jurusan akauntan, undang-undang dan kewangan.

"Adakalanya, kita menyatakan secara umum sebagai pendidikan tinggi percuma tetapi tidak bermakna untuk semua bidang atau kursus pengajian. Sebabnya ialah terlalu ramai graduan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, tidak mendapat pekerjaan," jelasnya.

Sagah menambah: "Kita tidak mahu menghantar pelajar ke universiti, tamat pengajian, balik, mereka tidak mengucapkan terima kasih kerana tidak ada pekerjaan, sebaliknya 'menyumpah' kerajaan”.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 09:05 AM GMT+8 , Processed in 0.040558 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list