Hilmy melihat pokok bonsai yang dipamerkan di pekarangan Pusat Beli-Belah La Promenade, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KOTA SAMARAHAN: Taman bonsai pertama dicadang dibangunkan di Kuching untuk mengetengahkan seni penanaman bonsai kepada orang ramai.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman berkata, usaha membangunkan taman itu akan dilakukan secara usaha sama pihaknya dengan Persatuan Bonsai Sarawak dan Persatuan Bonsai Malaysia.
"Cadangan taman bonsai ini dibangunkan di kawasan berhampiran Taman Orkid di Kuching dan ini salah satu peluang untuk kita promosikan pembangunan bonsai.
"Saya juga telah berbincang dengan Presiden Persatuan Bonsai bahawa tidak akan menjadi halangan untuk kita melihat lebih mendalam (cadangan taman bonsai) dan berhasrat mewujudkan taman bonsai pertama di Kuching," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyempurnakan Kejohanan Bonsai dan Suiseki Terbuka Sarawak di pekarangan Pusat Beli-Belah La Promenade Mall di sini, hari ini.
Hilmy (enam kiri) merakam kenangan bersama-sama tetamu pada majlis perasmian Kejohanan Bonsai dan Suiseki Terbuka Sarawak di pekarangan Pusat Beli-Belah La Promenade Mall, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Beliau menambah, cadangan itu masih di peringkat awal dan mengambil sedikit masa untuk direalisasikan.
"Ke arah mewujudkan taman ini, pihak kami (DBKU) turut mengadakan lawatan ke Jepun selain koordinasi dengan persatuan bonsai bagi penganjuran pameran dan taman bonsai di Kuching.
"Untuk memiliki taman bonsai sendiri memerlukan masa dan cadangan ini tidak terlalu lewat... saya rasa kita boleh mulakan sekarang dan cuba untuk membuat sesuatu.
"Bagi mewujudkan taman ini ia mungkin mengambil masa setahun atau dua tahun dan kita berharap ia akan dapat direalisasikan," katanya lagi.
Beliau turut berharap penduduk Kuching menanam minat terhadap bonsai walaupun proses penjagaannya mengambil masa.
Sementara itu, Hilmy berkata DBKU bercadang untuk menganjurkan acara tahunan iaitu Festival Cahaya dan Bunga.
Acara tersebut dijangka diadakan di Tebingan Kuching dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) serta persatuan-persatuan bonsai tempatan dan antarabangsa.
Mengenai Kejohanan Bonsai dan Suiseki Terbuka Sarawak, ia diadakan bermula 3 hingga 9 September ini dan melibatkan sebanyak 200 penyertaan.
Turut hadir ialah Pengerusi MPKS Dato Peter Minos serta tetamu lain.
|