Api marak memusnahkan tapak pelupusan sampah di Tanjung Kidurong, Bintulu hari ini.
BINTULU: Sekitar 0.4 hektar tapak pelupusan sampah di Tanjung Kidurong di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dengan bantuan BBP Kidurong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 1.31 petang.
"Sejurus sampai, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran yang membabitkan tapak pelupusan sampah milik syarikat Trienekens yang dianggarkan berkeluasan 0.4 hektar," ujarnya.
Sebagai langkah awal, pihak Trienekens telah bertindak memadam kebakaran menggunakan satu unit pam angkut dan dua aliran hos.
"Pada masa sama, pasukan bomba turut menggunakan dua aliran air 400 kaki dengan sumber air diperoleh dari tangki bomba sendiri," jelas beliau.
Ketika berita ini ditulis, difahamkan pasukan bomba bersama pihak Trienekens masih giat memadam kebakaran tersebut.
|