Fadillah tiba bagi majlis perasmian SSMIC di Kuching. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, tiada keperluan untuk merangka draf memorandum persefahaman (MoU) baharu berhubung peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
Ini kerana tegas Fadillah, draf MoU sedia ada adalah asas kepada perbincangan antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) berhubung perkara itu.
"Mereka (PN) sudah membuat kenyataan bahawa mereka menolak (MoU). Jadi kita menghormati keputusan mereka.
"Apa yang hendak draf baharu? Draf sedia ada itulah asas untuk kita berbincang dan mereka kena kemukakan maklum balas.
"Tetapi mereka sudah membuat keputusan mereka menolak. Jadi bila menolak, kita terima tolakan itu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Pengurusan Keselamatan Sosial Antarabangsa di Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.
Fadillah turut memaklumkan pihak pembangkang belum berhubung dengan beliau setakat ini mengenai keputusan mereka menolak MoU tersebut.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi satu kenyataan baru-baru ini berkata, keputusan menolak dua cadangan MoU itu dibuat secara sebulat suara atas empat sebab asas.
Hamzah turut mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU itu kata Hamzah, dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Manakala Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan pada Rabu berkata mahu kerajaan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan MoU peruntukan pembangkang itu.
Ini kerana katanya, tiada ruang perbincangan dengan kerajaan berhubung draf MoU itu, kecuali syarat terbabit dipatuhi.
|