Sebahagian laluan jalan berhampiran BIKF Ke-17 di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu ditutup sementara dari 25 hingga 29 September ini.
BINTULU: Penutupan sebahagian jalan berhampiran kawasan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu Sarawak (BIKF) Ke-17 akan dilakukan dari 25 hingga 29 September ini di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam kenyataannya memaklumkan penutupan jalan tersebut bermula jam 10 pagi hingga 6 petang sepanjang festival itu berlangsung.
Terdahulu, seramai 170 peserta dari 28 negara dijangka hadir memeriahkan BIKF Ke-17.
Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari berkata, antara acara menarik pada BIKF tahun ini ialah persembahan layang-layang besar, 'sport kite', 'wind garden display', 'inflatable giant Mr King Kong', 'glamping', perarakan peserta BIKF, bengkel pembuatan layang-layang dan sebagainya.
"BIKF ini dijangka dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat BDA Wisma Bintulu di sini, baru-baru ini.
Dengan penganjuran acara besar itu katanya, Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) sebagai rakan strategik BDA telah menyumbangkan sejumlah RM200,000 untuk BIKF 2024.
"Kita berharap aura dan imej antarabangsa lebih menyerlah bagi menarik lebih ramai pengunjung atau pelancong untuk datang ke festival ini," jelasnya.
Beliau berkata, penganjur berharap festival ini terus berjaya dengan mendapat sokongan dan kerjasama agensi-agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
|