Abdul Karim (empat kiri) melakukan simbolik perasmian Pesta Air Sibu Jaya 2024, hari ini.
SIBU: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menzahirkan rasa teruja melihat kehadiran lebih 20,000 pengunjung memeriahkan Pesta Air Sibu Jaya 2024 di sini, hari ini.
Justeru, beliau menyifatkan sambutan terhadap pesta itu sebagai sangat luar biasa sehingga mampu menarik orang luar untuk datang ke Sibu Jaya.
"Saya diberitahu lebih 20,000 pengunjung hadir dari penduduk tempatan hingga mereka yang datang dari kawasan jauh seperti Bintulu.
"Kehadiran ini membawa manfaat besar, melibatkan pelbagai peringkat usia, dari kanak-kanak hingga warga emas sekali gus menjadi platform untuk keluarga meluangkan masa bersama," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan pesta tersebut.
Menurutnya, acara itu sangat menarik kerana ia satu-satunya festival air di Sarawak yang menyerupai Festival Air Songkran di Thailand.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, pesta itu mampu membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
"Selain memberi manfaat kepada penduduk sekitar, ia juga memberi manfaat kepada para usahawan dan peniaga tempatan," jelasnya.
Antara babak kemeriahan pengunjung yang menyertai Pesta Air Sibu Jaya 2024, hari ini.
Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada AmCorp sebagai rakan kerjasama serta Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) atas kejayaan menganjurkan acara itu dengan lebih baik dan teratur berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Acara itu dianjurkan bersama oleh MDLBS dan Kumpulan AmCorp Berhad.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Amcorp Berhad Azlan Baqee, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak William Anut, Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai, Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei serta tetamu jemputan lain.
|