Kullin menyifatkan kenyataan CUEPACS terhadap salah guna cuti sakit kepada guru, tidak adil.
KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyifatkan kenyataan yang mendakwa guru paling ramai melakukan salah laku berkaitan penggunaan sijil cuti sakit (MC) sebagai kenyataan yang tidak adil.
Presiden STU Kullin Djayang berkata malahan apa paling memeranjatkan, kenyataan itu dikeluarkan sendiri Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
“Ia adalah kenyataan yang kurang adil kepada semua guru yang telah bertugas dengan penuh dedikasi selama ini.
“Sebagai sebuah kesatuan guru, saya amat kecewa jika CUEPACS dengan lantang menuding jari kepada guru.
“Kerana kita percaya bahawa perkara berkaitan sijil sakit ini melibatkan semua penjawat awam dan ia memang sesuatu yang negatif, namun tidak wajar terus menyelar golongan guru melalui siaran media,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Utusan Borneo, hari ini.
Kullin berkata harus faham bahawa, setiap sijil cuti sakit yang diambil oleh guru adalah diserahkan kepada ketua jabatan seperti guru besar atau pengetua.
Katanya, mereka sememangnya mempunyai budi bicara untuk menerima atau tidak sijil sakit tersebut berdasarkan Perintah Am 15 Bab C.
Malah katanya, ia juga dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 2 Tahun 2006.
Beliau berkata ia telah ditambah baik kepada 15 hari bagi rawatan pesakit luar oleh pegawai perubatan kerajaan.
Katanya, ia diumumkan oleh Ketua Pengarah perkhidmatan awam sendiri pada melalui surat siaran JPA Saraan pads 18 Februari 2022.
“Saya menegaskan dengan serius bahawa kenyataan seperti ini tidak harus berulang lagi demi menjaga keharmonian di dalam CUEPACS.
“Kita meningatkan kepada semua penjawat awam agar lebih bertanggungjawab serta penuh komitmen dalam tugas masing-masing.
Tambah Kullin, sebelum membuat kenyataan itu CUEPACS harus merujuk kepada jumlah guru di seluruh Malaysia, yang merupakan antara bilangan penjawat awam paling ramai.
Ia seperti dalam data e-operasi Julai 2020, dimana jumlah guru telah mencecah kira-kira 416,743, ujar Kullin.
Baru-baru ini, CUEPACS mendedahkan golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan MC.
Selain itu, ada juga guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.
|