Alor Setar: "Arwah adik pernah beritahu yang dia hendak beralih angin selepas hampir 20 tahun bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
"Tak sangka baru saja tiga bulan bekerja di situ, dia pergi buat selama-lamanya dan mengejutkan kami semua," kata Khairul Ajhar Jaffar, 47.
Dia adalah abang sulung kepada Khairul Nizam, 41, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan
kerja penyelenggaraanEagle's Nest Skywalk (ENS) di Gunung Machinchang, Langkawi, semalam.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu daripada ibu, Kasyah Hashim, 72, yang memaklumkan anak ketiga daripada empat beradik itu
jatuhketika sedang bekerja.
Katanya, pada mulanya, dia menyangka adiknya hanya jatuh biasa tetapi terkejut apabila dimaklumkan
Khairul Nizam jatuh dari ketinggian 40 meter.
"Arwah seorang adik yang ringan tulang dan dia antara yang ramah dalam keluarga kami," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.
Khairil Ajhar yang juga jurugambar bebas berkata, kali terakhir Khairul Nizam berbual bersama ahli keluarga menerusi kumpulan WhatsApp keluarga ketika mereka meraikan hari lahir ahli keluarga, minggu lalu.
"Arwah adik peminat setia pasukan bola sepak Kedah dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa Hijau Kuning meskipun sibuk bekerja di Langkawi. Dia akan ke Stadium Darul Aman jika pulang ke Alor Setar.
"Disebabkan rapat dengan kumpulan penyokong bola sepak Kedah, arwah juga mengenali pemain, bekas pemain termasuk bekas jurulatih Kedah, Allahyarham Azraai Khor Abdullah," katanya.
Khairul Nizam meninggalkan isteri, Zunirah Othman, 36, dan tiga orang anak berusia 10, 16 dan 17 tahun.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Rafeah Taman Uda, dekat sini selepas selesai bedah siasat.