Warga Palestin cetus kekecohan kerana tidak berpuas hati
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Oktober 4, 2024 @ 9:16pm [email protected]

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
SINTOK: Insiden kekecohan membabitkan sekumpulan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) kelmarin, terjadi apabila segelintir mereka tidak berpuas hati apabila berada terlalu lama di lokasi terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata warga Palestin terbabit terutamanya kanak-kanak dibawa ke negara ini menggunakan pas khas bagi tujuan mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera.
Disebabkan itu jelasnya, kanak-kanak terbabit yang diiringi keluarga masing-masing tidak ditempatkan di kawasan luar WTKL untuk memudahkan kawalan dan keselamatan mereka.
"Warga Palestin dibawa ke sini itu adalah sebahagian komitmen kita untuk membantu mereka yang menjadi mangsa perang terutama kanak-kanak yang tercedera untuk dirawat, mereka anak-anak maka mereka datang dengan penjaga.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) berperanan mengeluarkan pas, insiden itu tercetus kerana ada segelintir mereka berasa tidak berpuas hati sebab diletak di transit dan dihadkan pergerakan kerana tujuan asal mereka dibawa untuk dirawat sesuai dengan pas yang dikeluarkan.
"Keputusan ketika itu adalah membawa mereka untuk mendapatkan rawatan, logiknya tak akan kita nak letak mereka bersepah merata-rata, letak di situ memudahkan kita jaga, kawal termasuk aspek keselamatan, jadi mungkin mereka lama jadi tak betah di satu tempat dan berhasrat dibenarkan pergerakan diperluas," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Townhall Bersama Menteri Dalam Negeri Sempena Minggu Suai Kenal Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, berikutan itu pihaknya sedia mengkaji kesesuaian pas yang boleh dikeluarkan kepada warga Palestin terbabit mengikut kesesuaian Akta Imigresen.
Katanya, perkara sama pernah dibuat ke atas pelarian perang Syria yang dibawa ke negara ini beberapa tahun lalu, apabila mereka dibenarkan tinggal sehingga tiga tahun.
"Di peringkat KDN kita sudah berbincang bagaimana perancangan ke depan kerana di bawah Akta Imigresen ada pelbagai pas dan kita akan lihat pas apa yang bersesuain untuk tujuan itu.
"Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Pertahanan yang merayu kepada rakyat Malaysia agar jangan dibuat suatu tanggapan umum, mempersalahkan pihak tertentu dan minta mereka dihantar balik.
"Mereka ini negaranya sedang berperang, negara hancur, tak masuk akal kita desak hantar pulang hanya kerana insiden sebegini, yang penting kita cari penyelesaiannya bagaimana undang-undang sedia ada dapat digunapakai untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka di sini," katanya.
Rabu lalu, sekumpulan warga Palestin didakwa bertindak kasar dengan membaling selipar ke arah salah seorang pegawai penguat kuasa dan merosakkan harta benda premis berkenaan dipercayai kecewa selepas tidak diizinkan untuk menginap di luar WTKL.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini, perkara terbabit membuatkan kumpulan berkenaan 'naik angin' sehingga mencetuskan kekecohan di hadapan balai pengawal WTKL.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1306738/warga-palestin-cetus-kekecohan-kerana-tidak-berpuas-hati
|