Arau: Hujan lebat berterusan hampir empat jam sejak lewat petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Arau, Kangar dan Padang Besar dilanda banjir kilat.
Tinjauan mendapati kawasan seperti Kubang Gajah, Mata Ayer, Jejawi, Repoh, Sena dinaiki air hingga ke paras betis.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis berkata, berdasarkan pemantauan kawasan yang dilanda banjir kilat itu adalah kawasan 'hotspot'.
"Hujan lebat yang melanda menyebabkan berlaku peningkatan paras air yang mendadak pada parit dan longkang sehingga melimpah ke jalan terutama di kawasan berisiko banjir seperti Jalan Arau-Kangar berhadapan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Kubang Gajah dan laluan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Jejawi menuju ke Mata Ayer.
"Selain itu juga, kawasan di simpang tiga Balai Baru, Beseri berhampiran Balai Polis Beseri juga turut dilanda banjir kilat menyebabkan kenderaan yang melalui laluan itu harus memperlahankan kenderaan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Penghulu Bahagian Pentadbiran Daerah, Reswan Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sedang berada di kawasan dilanda banjir kilat dan memantau perkembangan kenaikan air bagi memastikan penduduk yang terjejas dapat dipindahkan.
Berdasarkan laman web Public Info Banjir, sehingga jam 11.30 malam ini, paras air Empangan Timah Tasoh berada pada paras amaran iaitu 29.52 meter (m) berbanding paras normalnya sekitar 29.10 m.
Manakala Sungai Gial di Kampung Gial juga mencecah paras amaran apabila merekodkan paras 9.07 m berbanding 8 m bagi paras normalnya dan Sungai Kampung Bakau di Kangar juga sudah berada pada paras waspada apabila mencatatkan paras 3.05 m berbanding 1.50 m bagi paras normal.