Bayan Lepas: Tanggal 16 November depan, genap setahun kejadian menimpa kanak-kanak lelaki yang melecur hampir seluruh badannya akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, di sini.
Kejadian yang menimpa Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi ketika itu menyebabkan dia terpaksa ditidurkan ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kini, Mohd Dawisy Zarif yang berusia 13 tahun sudah mula bersekolah selepas hampir setahun menerima rawatan di hospital berkenaan.
Perkembangan Mohd Dawisy Zarif dikongsi ibunya, Suhana Samsudin, 38, dan memaklumkan anaknya kelihatan bersemangat ketika memulakan persekolahan di tingkatan satu bermula minggu lalu.
"Syukur kesihatannya semakin baik tetapi dia agak malu bergaul berikutan keadaan kulit pada tangannya.
"Namun, setiap hari saya beri sokongan dan nasihat supaya tidak malu dengan keadaan itu malah warga sekolah termasuk rakan juga faham mengenainya," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Suhana berkata, sejak kejadian itu, Mohd Dawisy Zarif sudah menjalani lebih enam kali pembedahan pada badan selain pembedahan susulan yang seterusnya.
Bagi menjaga keadaan dan kesihatan kulitnya, Suhana berkata, Mohd Dawisy Zarif perlu memakai pakaian khas yang turut menutupi tangannya ketika berada di luar rumah.
"Sebelum ini dia gemar bersukan dan kini sudah mula bermain bola bersama rakan serta abang kembarnya. Keadaan kaki sudah kuat namun kedua-dua tangannya sedikit lemah.
"Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar dan terima kasih atas doa yang dititipkan buat anak saya," katanya.
Terdahulu, kejadian pada jam 4.30 petang itu berlaku selepas Mohd Dawisy Zarif dikatakan memasuki fasiliti milik TNB bagi mengambil bola yang terjatuh dalam premis berkenaan.
Suhana berkata, selepas kejadian Mohd Dawisy Zarif sedikit trauma namun kini tidak lagi bermimpi buruk.
"Dulu, setiap kali melihat kulitnya, Mohd Dawisy Zarif beritahu bahawa dia berasa geli namun saya menasihatinya supaya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
"Paling menyayat hati apabila dia beritahu menyesal dengan apa yang berlaku dan tidak akan masuk ke dalam bilik jana kuasa jika tahu bahayanya.
"Sebagai ibu, saya juga alami trauma namun kini beransur pulih dan berharap masyarakat terus beri sokongan kepadanya," katanya.