Penipuan jualan emas: Siti Hajartul Haini, 3 wanita lain direman tiga hari
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 23, 2024 @ 3:36pm [email protected]

Dua daripada empat wanita yang direman termasuk Siti Hajartul Haini susulan kes penipuan jualan emas. - NSTP/ ZULIATY ZULKIFFLI
JITRA: Wanita yang didakwa mendalangi penipuan jualan emas membabitkan kerugian mencecah jutaan ringgit yang ditahan semalam, direman tiga hari bermula hari ini.
Selain wanita itu, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37, yang sebelum ini dikehendaki polis, turut direman tiga wanita lain berusia antara 29 hingga 37 tahun yang ditahan bersamanya dan dipercayai terbabit kegiatan sama.
Perintah reman ke atas semua suspek dikeluarkan oleh Majistret Nurul Huda Idris di Mahkamah Jitra, hari ini.
Terdahulu, Siti Hajartul Haini yang dikehendaki polis berhubung penipuan jualan emas itu dilapor ditahan pihak berkuasa semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang, sebaik tiba dari Dubai.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mengesahkan pihaknya menerima 35 laporan berkait wanita itu susulan kes penipuan jualan emas membabitkan kerugian RM25.4 juta.
Jumlah laporan itu diterima sehingga semalam membabitkan enam lelaki dan 29 wanita berusia antara 29 hingga 60 tahun.
Menurutnya, laporan polis diterima itu membabitkan lapan negeri dengan Kedah paling tinggi iaitu 18 laporan polis.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1314935/penipuan-jualan-emas-siti-hajartul-haini-3-wanita-lain-direman-tiga-hari
|