KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan nama sebenarnya hanya Hasmah dan bukannya Siti Hasmah.
Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, 98, berkata, 'Siti' itu timbul kepada nama berkenaan yang menjadi fenomena pada ketika itu.
"Saya perlu betulkan...saya bukan Siti. Saya tidak dilahirkan sebagai Siti Hasmah. Saya hanya lahir sebagai Hasmah," katanya ketika ditemubual dalam podcast istimewa, 'Coffee with Ryan' yang disiarkan dalam Instagram Pusat Perubatan Prince Court, semalam.
Temubual itu dihoskan Pakar Perunding Gastroenterologi di Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Ryan Ponnudurai. Ia turut menampilkan Dr Mahathir.
Menjelaskan lanjut mengenai bagaimana namanya dikenali (Dr) Siti Hasmah, ia bermula sekumpulan 'orang; memberikan nama itu selepas beliau sekeluarga berpindah ke ibu negara dari Alor Setar, Kedah.
(Pada ketika itu) Ada Siti Nurhaliza, ada Siti itu, ada Siti ini. Jadi mereka letakkan nama Siti jadikan mereka kenali saya, Siti Hasmah.
Saya bukan Siti, saya Dr Hasmah," katanya berharap tidak ada lagi namanya dikaitkan dengan Siti.
Beliau dan Dr Mahathir sudah berkahwin selama 68 tahun. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956.
Mereka berpindah ke Alor Setar selepas mendirikan rumah tangga sebelum kembali menetap di Kuala Lumpur.
Dr Hasmah adalah wanita Malaysia pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak.
Beliau juga wanita Malaysia pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak negeri.