Kangar: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menubuhkan Forward Operating Base (FOB), atau Pangkalan Operasi Hadapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mac depan.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, operasi FOB itu ditubuhkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) di Wakaf Tapai, Terengganu dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Johor.
"Penumpuan MTL kali ini adalah di kawasan Pantai Timur, Johor, barat Sarawak dan timur Sabah.
"Sebuah lagi FOB yang diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk beroperasi adalah di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Tahun 2024 JBPM di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan 24,263 pegawai dan anggotanya, termasuk Pegawai Bomba Bantuan serta Pasukan Bomba Sukarela bagi penugasan menghadapi MTL kali ini.
Katanya, selain penugasan dari sudut anggota, pihaknya turut bersiap sedia dengan logistik udara membabitkan lima helikopter dan tiga dron.
"Selain itu, logistik darat yang bersedia menghadapi MTL kali ini ialah 293 kenderaan utiliti pacuan empat roda, 86 van, 72 lori lima tan dan 49 lori tiga tan.
"Dalam masa sama, 450 logistik marin dipersiapkan sekiranya diperlukan bila-bila masa dalam mengharungi bencana banjir seandainya berlaku," katanya.