Gambar fail
KUCHING: Kerajaan Sarawak dimohon untuk memberi pampasan kepada beberapa keluarga yang terjejas akibat projek pembangunan Transit Aliran Autonomi (ART) di kawasan Pending, kata Violet Yong (gambar) (DAP-Pending).
Menurutnya, beberapa keluarga yang telah lama mendiami dua lot tanah negeri di kawasan Pending membabitkan Lot 11509 dan 11510 Seksyen 64 Kuching Town Land District telah menerima notis pengosongan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Cawangan Kuching pada 3 September 2024.
Mereka katanya, diarahkan untuk meninggalkan kediaman masing-masing dalam tempoh 30 hari bagi memberi laluan kepada projek pembangunan ART di kawasan itu.
“Sebahagian besar penduduk ini telah menetap di kawasan tersebut selama lebih 40 tahun.
“Empat keluarga yang terdiri daripada golongan miskin tegar atau keluarga B40 di kawasan terjejas ini telah menghubungi saya untuk meminta bantuan bagi memohon pampasan dan lanjutan masa untuk berpindah.
“Dan saya telah pun menulis surat bagi pihak mereka kepada Pengarah JTS untuk perkara berkenaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Yong berkata, beliau gembira JTS Sarawak telah memberi maklum balas kepada penghuni terbabit dua hari lalu yang bersetuju untuk memberikan lanjutan masa untuk mereka berpindah.
Namun katanya, surat tersebut tidak menyebut mengenai pembayaran pampasan yang mana keluarga ini memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri untuk membantu mereka berpindah.
“Justeru, saya merayu kepada Kerajaan Sarawak dan JTS untuk membantu keluarga yang terjejas ini dengan memberikan pampasan seperti yang pernah diberikan kepada penghuni tanah kerajaan lain sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yong mencadangkan agar Kerajaan Sarawak memperuntukkan lot kediaman kepada keluarga-keluarga terjejas di Skim Penempatan Semula Stampin memandangkan masih ada lot yang belum dihuni.
Katanya, penduduk terlibat bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya untuk berpindah tetapi mereka memerlukan pampasan tersebut bagi membolehkan mereka berbuat demikian.
“Saya berharap JTS dapat memberikan surat rasmi kepada keluarga-keluarga yang terjejas ini yang menyatakan jumlah pampasan sebelum 31 Disember tahun ini,” ujarnya.
|