Alor Setar: Jabatan Mufti Kedah dijangka mengeluarkan fatwa mengenai isu pegangan dan fahaman dibawa GISB Holdings (GISBH), bulan depan.
Mufti Kedah Datuk Fadzil Awang berkata, pihaknya akan mengadakan sekali lagi mesyuarat bagi membincangkan maklumat diperolehi daripada pelbagai pihak termasuk GISBH dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, pertemuan bersama seorang pemimpin atasan GISBH sudah dilakukan dan individu berkenaan mengakui terdapat kesalahan dan penyelewengan berlaku.
Bagaimanapun, katanya, individu berkenaan turut mendakwa terdapat beberapa perkara yang dituduh sebenarnya tidak berlaku dalam GISBH.
"Pertemuan itu berlaku sebelum saya hadir ke Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bulan lalu. Dalam pertemuan itu, mereka setuju untuk dipanggil bagi ditunjukkan kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan, selain bersedia membetulkan keadaan agar dapat kembali ke pangkal jalan.
"Pihak terbabit turut menzahirkan harapan agar kegiatan ekonomi mereka tidak dilibatkan. Mereka sedia perbetulkan kepercayaan, pegangan dan amalan tetapi jangan dilibatkan aktiviti ekonomi mereka.
"Suara mereka itu turut saya sampaikan dalam muzakarah MKI. Perbincangan dalam muzakarah itu kemudian memutuskan ajaran GISBH masih terikat dengan Al-Arqam dari segi wirid, amalan serta beberapa kepercayaan lain dan keputusan itu lalu diangkat ke Majlis Raja-Raja sebelum diumumkan hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Terdahulu, Pengerusi MKI Datuk Dr Nooh Gadot mengumumkan keputusan Mesyuarat MKI Ke-125 memutuskan ajaran dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada GISBH sebagai sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng dari ajaran Islam.
Mengulas lanjut, Fadzil berkata, situasi di Kedah tidak seburuk seperti berlaku di beberapa negeri lain yang menyaksikan berlaku penangkapan pemimpin serta penutupan operasi GISBH.
Menurutnya, walaupun belum mengeluarkan fatwa berkaitan ajaran berkenaan, namun keputusan di peringkat MKI sudah cukup untuk diambil tindakan sewajarnya.
"Di negeri ini, kita dapati pihak GISBH telah menutup pusat-pusat pengajian mereka sebaik isu itu mula diperkatakan orang ramai.
"Di sini, keadaannya tidaklah lebih serius seperti negeri-negeri lain hingga melibatkan tangkapan dan pusat-pusat pengajian ditutup pihak berkuasa," katanya.