JAFNI Md Shukor ketika sidang media pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor di Thistle Johor Bahru. FOTO Iskandar Ishak
Johor Bahru: Kerajaan negeri melalui 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberikan rebat atau potongan sebanyak 30 peratus daripada nilai penyelarasan atau kenaikan cukai bagi 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ia membabitkan 10 PBT yang sedang dalam proses penyelarasan penyemakan semula kadar cukai.
Menurutnya, PBT itu ialah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP); Majlis Perbandaran Muar (MPM); Majlis Perbandaran Segamat (MPS); Majlis Perbandaran Pontian (MPPn); Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT); Majlis Daerah Tangkak (MDT); Majlis Daerah Yong Peng (MDYP); Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR); Majlis Daerah Mersing (MDM); dan Majlis Daerah Labis (MDL).
"Rebat 30 peratus daripada jumlah kenaikan cukai ini, sebagaimana tahun lalu yang kita lakukan kepada lima PBT yang melaksanakan penyelarasan cukai iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP)," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) di sini, malam tadi.
Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai berkata, penyemakan semula nilaian cukai itu sepatutnya dilaksanakan pada 2019 tetapi atas faktor pandemik Covid-19, maka kerajaan membuat keputusan menangguhkannya.
Menurutnya, secara keseluruhannya, bagi 10 PBT terbabit, nilai keseluruhan peningkatan cukai adalah sebanyak RM36.91 juta dengan purata kenaikan di bawah 18 peratus berbanding 2013 dan secara puratanya, 2.6 peratus setahun.
"Kenaikan hasil ini biasanya akan dibelanjakan dari sudut infrastruktur sama ada jalan, lampu termasuk menaik taraf longkang, bagaimanapun kita beri tumpuan kepada kawasan banjir terlebih dulu," katanya.
Pada masa sama, Mohd Jafni berkata, sehingga 26 November lalu, daripada jumlah 372,779 pegangan unit di 10 PBT terbabit, hanya merekodkan 4,660 atau 1.25 peratus saja bantahan.
"Berbanding dengan pelaksanaan penyemakan cukai membabitkan lima PBT pada tahun lalu, jumlah yang membantah adalah sebanyak 20,018 bersamaan 2.48 peratus daripada keseluruhan jumlah pegangan 807,262," katanya.
|